
PERCATURAN menggabungkan elemen muzik etnik tempatan dan antarabangsa ternyata membawa tuah buat lagu Kadazan, Hangadan Zou nyanyian Lyron Felix apabila ia dinobatkan sebagai juara Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 musim kedua yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang, pada malam Khamis.
Kemenangan lagu ciptaan Lyron, Raymond KSTV Stephen serta Elvine Ng Nyuk, dengan lirik nukilan Raymond dan Pontius Otigil itu hadir bersama hadiah wang tunai RM6,000.
Selain itu, Hangadan Zou turut membawa pulang RM4,000 selepas dinobatkan sebagai juara Kategori Lagu Kadazan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Ditemui selepas program, Lyron yang turut terlibat dalam proses penciptaan lagu dan lirik Hangadan Zou berkata karya berkenaan mengalami beberapa perubahan dari segi melodi dan instrumental agar memiliki ciri-ciri tempatan dan antarabangsa.
Menurut Lyron lagi, Hangadan Zou pada asalnya dicipta dalam bahasa Melayu sebelum dirakam semula dalam bahasa Kadazan pada 2023.
“Saya mahu beri kredit kepada pencipta asal lagu ini Raymond KSTV Stephen, yang mencipta versi asal dalam bahasa Melayu.
“Dialah yang mencipta melodi dan kami bersama-sama mengubah suai (improvise) serta menterjemahkannya ke dalam bahasa Kadazan. Kemudian kami perkemas lagi melodi dan instrumentasinya.
“Begitulah bagaimana pasukan kerja kami terbentuk untuk lagu ini,” katanya.
Menurut juara Sugandoi Kaamatan Negeri 2022 itu, versi asal dan versi semasa berbeza hampir 50 peratus dari segi susunan muzik.
“Ada bahagian melodi yang dikekalkan. Namun instrumentasi lagu asal lebih berinspirasikan muzik Indonesia.
“Untuk versi baharu dalam bahasa Kadazan, kami beri suntikan 'vibes' balada Korea supaya ia kedengaran seperti lagu runut bunyi drama Korea,” katanya.
Tambah penyanyi kelahiran Tambunan itu, Hangadan Zou sebenarnya sudah lama dihasilkan, namun hanya dirakam pada 2023.
“Projek pembikinan lagu ini terhenti seketika kerana saya memutuskan untuk menyertai pertandingan Sugandoi Kaamatan dahulu pada 2015.
“Selepas setahun saya menang Sugandoi Kaamatan peringkat Negeri pada 2022, barulah saya teruskan semula projek lagu ini dan kami keluarkannya pada 2023,” katanya.
Mengulas mengenai kemenangannya, Lyron berkata dia bersyukur kerana usaha keras pasukannya akhirnya berbaloi.
“Struktur lagu Hangadan Zou benar-benar menguji kemampuan vokal saya kerana menuntut nada dan julat suara yang luas.
“Kemenangan ini bagi saya adalah hasil usaha kami untuk mencapai satu sasaran dan akhirnya kami berjaya mencapainya.
"Namun saya sebenarnya tidak menjangkakan akan menang. Sebab lagu-lagu peserta lain pun hebat-hebat belaka. Tapi saya bersyukur rezeki berpihak kepada kami,” katanya.
Lyron turut berharap kemenangannya akan menjadi motivasi kepada lebih ramai penggiat seni untuk mencipta lagu dalam bahasa etnik agar bahasa tempatan Sabah terus dikenali di peringkat antarabangsa.
“Saya harap orang ramai akan terus menyokong pencipta lagu tempatan, khususnya dalam bahasa etnik, supaya kita dapat melestarikan bahasa, seni dan budaya kita,” katanya.
Sementara itu, penulis lirik Pontius Otigil berkata inspirasi untuk mengubah karya terbabit ke dalam bahasa Kadazan datang daripada Lyron sendiri dan tugasnya adalah untuk memperkemas lirik Hangadan Zou.
“Inspirasi memang datang daripada Lyron sendiri. Lagu ini asalnya ditulis dalam bahasa Melayu.
“Apabila Lyron menyertai Sugandoi buat kali pertama pada 2015 mewakili Penampang, dari situlah tercetus inspirasi untuk menukarkan lagu asal kepada bahasa Kadazan.
“Kami mahu meraikan kemenangannya di peringkat daerah dan kemudian sebagai naib johan peringkat negeri.
“Selepas tujuh tahun, apabila dia menyertai semula Sugandoi dan menjadi juara negeri pada 2022, lagu ini terus diinspirasikan dan dirakam dalam bahasa Kadazan setahun kemudian,” jelasnya.
Dalam pada itu, komposer bersama Elvine Ng Nyuk mengakui mereka mempunyai perancangan untuk merakamkan Hangadan Zou dalam versi bahasa Melayu.
“Pada mulanya semasa sesi rakaman pada 2023, kami mensasarkan lagu ini khusus untuk pertandingan Sugandoi.
“Tapi siapa tahu, mungkin selepas ini kami akan keluarkan juga versi dalam bahasa Melayu,” katanya.
Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 musim kedua anjuran Jabatan Penyiaran Sabah itu menyaksikan 12 lagu terbaik dipertandingkan mewakili tiga lagu terbaik dalam setiap kategori bahasa.
Program dwitahunan itu, yang pertama kali diadadakan pada 2023, merupakan tonggak siaran radio RTM Sabah di bawah stesen radio SABAHVfm. Ia menggabungkan carta lagu daripada empat etnik utama di Sabah: Kadazan, Bajau, Murut dan Dusun.
Untuk lagu Kadazan, Hangadan Zou memenangi kategori itu dan disusuli lagu Kopiiso Zito Ngoduvo (nyanyian Elden Isos & Esther D. Kimsiong) di tempat kedua manakala lagu Sopiiso Nodaa Ngoduvo (Presley Petrus) di tempat ketiga.
Kategori lagu Bajau pula diungguli oleh lagu Selekat Kiti Mitu yang didendangkan oleh Rozaimi Rozali dan disusuli lagu Angay (nyanyian Mohammad Hud Lufti Jamail) dan Rengot Jangat (Tantiana Tukiman) di tempat kedua dan ketiga masing-masing.
Juara kategori Murut pula jatuh kepada lagu Simpatataan nyanyian Syamson Tingkalur & Afiezal Fahmi Inggu, dengan tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh lagu Insan Ru (Anjee Afirra Laijih) dan Sumiloh Poh Bulan (Sitipah Jahamin).
Kategori lagu Dusun, dalam pada itu, dijuarai oleh lagu Boros Ginawo nyanyian Norzizi Safira Iddy dan disusuli oleh lagu Sunudai Oku (James Sami) dan Sumilau (Wirona Malun) di tempat kedua dan ketiga, masing-masing.
Gelaran juara, naib juara dan tempat ketiga setiap kategori hadir bersama hadiah RM4,000, RM3,000 dan RM2,000, masing-masing.
Turut diberikan adalah Anugerah Vokal Terbaik yang dimenangi oleh Rozaimi, Anugerah Persembahan Terbaik (Sitipah) dan Anugerah Lirik Lagu Terbaik yang diungguli oleh lagu Boros Ginawo. Setiap pemenang, masing-masing, membawa pulang RM2,000.
