Hannah beri pandangan ikut hati nurani berhubung pengampunan Najib

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 4:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hannah beri pandangan ikut hati nurani berhubung pengampunan Najib

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan beliau telah memberikan pandangannya secara jujur dan berterus terang berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hannah yang merupakan antara anggota Lembaga Pengampunan berkata, pandangan itu diberikan selepas beliau meneliti pendapat bertulis Peguam Negara dalam mesyuarat rasmi lembaga berkenaan pada Jumaat lalu.

“Saya telah pun memberikan pandangan atas kapasiti sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan yang bersidang pada hari Jumaat lepas bertarikh 11 September.

“Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani (conscience) saya demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung penangguhan permohonan pengampunan Najib.

Semalam, Azalina dilaporkan berkata sebarang persoalan mengenai apa yang berlaku dalam mesyuarat berkenaan, sebab permohonan itu ditangguhkan serta tarikh baharu perlu dirujuk kepada Hannah selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

Menurut Hannah, kuasa dan keputusan muktamad berhubung perkara tersebut bagaimanapun terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya keputusan berhubung permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara pada 11 September lalu.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda. – KOSMO! ONLINE

The post Hannah beri pandangan ikut hati nurani berhubung pengampunan Najib appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved