Isu pengampunan Najib: 'Saya nyatakan pandangan secara jujur demi kepentingan negara' - Hannah Yeoh

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 12:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu pengampunan Najib: 'Saya nyatakan pandangan secara jujur demi kepentingan negara' - Hannah Yeoh
Hannah menjelaskan pandangan yang disuarakannya dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan Jumaat lalu berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak dibuat secara jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani serta demi kepentingan negara. - Gambar fail Awani

KUALA LUMPUR  - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan, pandangan yang disuarakannya dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan Jumaat lalu berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak dibuat secara jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani serta demi kepentingan negara.

Menurutnya, pandangan itu diberikan selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara, selain atas kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

"Saya menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hannah berkata, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa serta keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), termasuk untuk menangguhkan sebarang keputusan berkaitan permohonan pengampunan bekas perdana menteri itu.

Penjelasan tersebut dibuat susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa sebarang persoalan berhubung penangguhan keputusan permohonan pengampunan Najib perlu dirujuk kepada Hannah.

Azalina sebelum ini berkata, beliau bukan menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pengampunan, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah kementeriannya hanya berperanan sebagai sekretariat.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Mesyuarat pada Jumaat lalu itu turut membabitkan Hannah selaku menteri yang bertanggungjawab, selain Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta tiga ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman tersebut kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta pada Februari 2024.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengetepikan rayuan Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved