
NABAWAN: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menerbangkan sebuah helikopter AW139 PGU pada Selasa bagi membantu misi penghantaran bantuan bakul makanan kepada lima kampung di sini yang terputus perhubungan jalan raya akibat hujan lebat sejak 22 Mac lalu.
Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony Idham berkata kampung terjejas ialah Kampung Pangaraan, Binanun, Pohon Batu , Sumbiling dan Tatalaan Ulu yang melibatkan seramai 200 penduduk.
“Penghantaran pada Selasa hanya bantuan membabitkan Kampung Pangaraan dan Pohon Batu dengan dua lagi helikopter Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah akan turut membantu misi ini pada Rabu,” kata Marshal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) ketika ditemui di sini.
Dalam perkembangan lain katanya, JPBD Nabawan kini dalam proses menganggarkan kerosakan untuk diajukan kepada pihak berwajib dan berharap peruntukan baikpulih kesan runtuhan ini dapat dipercepatkan.
Sementara itu Ketua Anak Negeri Mukim Pamuntarian Tatalaan Brahim Andipoh merakamkan penghargaan atas penghantaran bantuan segera itu.
Beliau juga berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup yang menyalurkan bantuan bakul makanan itu.
Ketua Kampung Pangaraan Lindang Lambang berkata bantuan ini sememangnya dinanti-nantikan penduduk terlibat kerana mereka tidak dapat keluar ke pekan akibat beberapa runtuhan jalan.
Turut membantu dalam misi itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM), JBPM Nabawan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Nabawan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Nabawan, staf Pejabat Adun Nabawan dan Pejabat Ahli Parlimen Pensiangan.


