Hantaran Tular Hina Sultan Selangor: Polis Terima 21 Laporan, Siasat Akaun Pemilik Facebook

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 5:54 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Hantaran Tular Hina Sultan Selangor: Polis Terima 21 Laporan, Siasat Akaun Pemilik Facebook

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (26 April), tular di media sosial satu hantaran sebuah akaun Facebook yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi hantaran tersebut, dapat dilihat sebuah imej yang disunting dengan gambar khinzir dan pakaian istiadat istana serta dikaitkan dengan baginda Sultan.

Hantaran itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial termasuk beberapa Exco Negeri Selangor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampau, BIADAB dan tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berperlembagaan.

Kesemua mereka mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas berhubung hantaran tersebut.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong kemudiannya tampil memaklumkan page yang memberikan komen berkenaan adalah akaun palsu dan bukan akaun Facebook asli milik institusi berkenaan.

Tegas Firdaus, beliau boleh memilih untuk berdiam diri namun sebagai muslim, Islam mengajarnya untuk berlaku adil dalam setiap keadaan.

“Saya tidak boleh berdiam diri apabila saya ketahui kebenaran & perlu konsisten dengan prinsip itu,” katanya.

Image from: Hantaran Tular Hina Sultan Selangor: Polis Terima 21 Laporan, Siasat Akaun Pemilik Facebook

Dalam pada itu, Ahli Dewan di-Raja Selangor turut menggesa agar polis segera menyiasat pemilik akaun media sosial yang memuat naik gambar berkenaan.

Menurut Ahli Dewan di-Raja Selangor Datuk Salehuddin Saidin, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya hantaran jelik dan tidak bertanggungjawab oleh pemegang akaun media sosial yang secara terang-terangan memuat naik suntingan gambar menghina Sultan Selangor, dipercayai ada kaitan dengan isu penternakan babi di Selangor.

PDRM Jalankan Siasatan, Sedang Kenal Pasti Pemilik Akaun Facebook

Terbaharu, PDRM mendedahkan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook yang didakwa memuat naik hantaran bergambar mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar, pihak berkuasa sedang memantau rapat hantaran yang dimuat naik pada 25 April lalu.

Jelasnya, identiti pemilik atau pentadbir akaun berkenaan sudahpun dikenal pasti dan tindakan fizikal sedang dilaksanakan.

“Siasatan terhadap individu berkenaan sedang dijalankan termasuk merampas peranti yang digunakan bagi membuat hantaran oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman dengan kolaborasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Polis Terima 21 Laporan Berhubung Hantaran Didakwa Hina Sultan Selangor

Terang Kumar, pihaknya telah menerima 21 laporan dari seluruh negara berhubung hantaran terbabit.

“Sehingga kini, polis menerima sebanyak 21 laporan dari seluruh negara berkaitan isu yang sama. Seramai 21 orang saksi, termasuk individu yang tampil membuat laporan, dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu melibatkan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya,”katanya.

Pada masa yang sama, dia turut menegaskan bahawa tiada kompromi kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial dengan menyentuh isu sensitif melibatkan Agama, Raja dan Kaum (3R).

KENYATAAN MEDIA PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAHSiasatan Kes Hantaran Gambar Penghinaan Terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Sunday 26 April 2026

Exco Sifatkan Hantaran Sebagai Perbuatan Tidak Beradab & Melanggar Norma Serta Tatasusila

Sebelum ini, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han mengecam sekeras-kerasnya hantaran tersebut.

Tegas Ng, tindakan menyamakan mana-mana manusia dengan sifat binatang bukan sahaja tidak beradab malah melanggar norma serta tata susila seorang rakyat Malaysia.

Dia juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu cubaan yang boleh mencetuskan kekacauan dalam negara berbilang kaum.

Selain Ng, antara Exco Negeri Selangor lain yang turut mengecam tindakan terbabit adalah Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail.

Baca Artikel Berkaitan: Padah Ugut Bunuh Agong & Hina Institusi Diraja, Lelaki Direman 3 Hari

Baca Artikel Berkaitan: “FB Saya Verified” – Cayson Goh Nafi Hina YDPA, Dakwa Ada Pihak Menyamar Guna ‘Fake Account’