Posting Hina Sultan Selangor: MCMC Rakam Keterangan Pentadbir FB HuaYan The Pureland Learning Centre

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 8:37 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Posting Hina Sultan Selangor: MCMC Rakam Keterangan Pentadbir FB HuaYan The Pureland Learning Centre

Sejak semalam kecoh di media sosial mengenai posting jelik melampau berunsur 3R yang dimuat naik sebuah akaun Facebook terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi tangkap layar posting berkenaan, dapat dilihat terdapat teks menghina baginda selain foto suntingan khinzir yang memakai pakaian istiadat istana.

Perkongsian tersebut mencetuskan kemarahanan orang ramai serta ahli politik yang mahukan pelaku dikenakan hukuman berat.

Ahli Dewan di-Raja Selangor turut menggesa agar polis segera menyiasat pemilik akaun media sosial yang memuat naik gambar berkenaan.

Namun pendakwah bebas, Firdaus Wong tampil mendakwa laman yang memberikan komen berkenaan adalah akaun palsu dan bukan akaun Facebook asli milik institusi berkenaan.

Polis Diraja Malaysia kemudiannya mengesahkan pihaknya telah menerima 21 laporan dari seluruh negara berhubung hantaran terbabit.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar, identiti pemilik atau pentadbir akaun berkenaan sudahpun dikenal pasti dan tindakan fizikal sedang dilaksanakan.

Baca Artikel Berkaitan: Hantaran Tular Hina Sultan Selangor: Polis Terima 21 Laporan, Siasat Akaun Pemilik Facebook

MCMC sudah panggil, rakaman percakapan admin akaun FB HuaYan The Pureland Learning Centre

Terbaharu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan polis dalam menjalankan siasatan bagi kes tersebut.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil rakaman percakapan seorang individu yang merupakan pentadbir kepada akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre pada hari ini (27 April) untuk membantu siasatan.

“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat.”

Tegas MCMC lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, serta bahawa sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah—khususnya melibatkan Institusi Diraja— akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang.”

PDRM siasat bawah Akta Hasutan 1948

Dalam masa sama pihak PDRM pula menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau penjara selama tempoh dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.

Sehubungan itu orang ramai diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, serta bahawa sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah khususnya melibatkan Institusi Diraja akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang.