Hanya 26 Peratus Wanita Isi Kepimpinan Tertinggi IPTA - Zambry

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 7:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

BANDAR ENSTEK - Penyertaan golongan wanita di peringkat kepimpinan tertinggi masih rendah walaupun mereka mengisi 46 peratus jawatan kepimpinan pelapis di universiti awam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, hanya 26 peratus golongan berkenaan berjaya menembusi kepimpinan peringkat tertinggi di sektor terbabit. 

Menurut beliau, jurang berkenaan menunjukkan keperluan untuk memperluas peluang kepada lebih ramai wanita berpotensi bagi menggalas tanggungjawab kepimpinan pada peringkat lebih tinggi.

“Negara mempunyai ramai wanita berbakat dan berilmu yang berupaya menerajui organisasi, justeru kebolehan mereka perlu diberikan ruang untuk berkembang dan menyerlah.

“Kepimpinan wanita bukan sekadar soal memenuhi kuota atau angka peratusan, tetapi mesti berasaskan merit, kemampuan dan peluang yang adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan 44 peserta daripada 20 universiti awam yang menamatkan Program SheLeads 2026 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini, pagi tadi.

Zambry (tengah) bergambar bersama peserta
Zambry (tengah) bergambar bersama peserta

Menurut Zambry, program berkenaan merupakan antara inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkukuh bakat kepimpinan wanita menerusi latihan, perkongsian pengalaman serta bimbingan daripada pemimpin berpengalaman.

Tegas beliau, usaha memperkasa kepimpinan wanita bukan tanggungjawab golongan itu semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk kaum lelaki.

Katanya, organisasi yang kukuh terbina melalui gabungan kekuatan dan keupayaan setiap individu tanpa mengira jantina.

“Kita bukan sekadar mahu melihat lebih ramai wanita menjadi pemimpin, tetapi mahu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang benar-benar berkualiti, berwibawa dan mampu membawa perubahan,” katanya.

Zambry turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan SheLeads 2026 serta penghargaan kepada AKEPT dan semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

“Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluas kepada semua kelompok bagi memastikan lebih ramai wanita berpeluang membangunkan potensi kepimpinan masing-masing,” katanya. - Getaran, 3 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved