
NIBONG TEBAL – Seramai 30 peratus calon wanita yang diketengahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi antara tawaran parti itu kepada pengundi dalam usaha terus memartabatkan peranan wanita dalam arena politik.
Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penyertaan calon wanita itu memberi peluang kepada rakyat untuk memilih wakil wanita ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) akan bergerak sebagai satu pasukan dalam menghadapi PRN berkenaan dengan komitmen yang kekal di bawah gabungan itu.
“Dari segi dinamika pasukan ataupun dari segi komitmen kita masih lagi Pakatan Harapan. Jadi setakat semalam, kita akan pergi sebagai satu pasukan, insya-Allah.
“Semalam kita sudah pun lancarkan juga slogan kita, Melaka Rumah Kita.
“Jadi mudah-mudahan sokongan rakyat akan kita lihat dalam PRN ini yang saya fikir itu juga satu tawaran yang baik untuk rakyat buat pilihan, khususnya bagaimana kita terus memartabatkan wanita sebagai calon DUN Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia peringkat Parlimen Nibong Tebal di Taman Widuri, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Okt sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.- KOSMO! ONLINE
The post PKR tampil 30 peratus calon wanita di PRN Melaka appeared first on Kosmo Online.






