Hanya 38% rakyat Malaysia miliki pelan kewangan jangka panjang - Sun Life

05/05/2025 - 11:39
Gambar/FB Sun Life Malaysia Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 5 Mei - Hanya 38% rakyat Malaysia memiliki pelan kewangan melebihi setahun, sekali gus memperlihatkan majoriti penduduk negara ini tidak mempunyai perancangan kewangan yang kukuh berikutan tekanan inflasi dan kos sara hidup yang meningkat.
Presiden Sun Life Malaysia, Raymond Lew turut mendedahkan, walaupun simpanan dan persaraan disenaraikan sebagai keutamaan kedua tertinggi dalam pengurusan kewangan, hanya 18% mempunyai pelan persaraan atau pencen yang kukuh.
"Sebanyak 65% rakyat Malaysia sedar tentang kepentingan perancangan legasi, namun hanya 15% yang benar-benar mempunyai pelan untuknya," katanya yang memetik kaji selidik celik kewangan dan insurans terkini oleh Sun Life.
Beliau berkata, disebabkan itu, Sun Life Malaysia kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan ilmu kewangan melalui program pendidikan dan akses kepada peralatan perancangan persaraan.
Usaha tersebut katanya, bertujuan membantu rakyat Malaysia membina ketahanan kewangan walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar.
"Perancangan legasi akan menjadi tumpuan utama pada 2025. Sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran ini, kami bekerjasama dengan selebriti Alif Satar sebagai duta rasmi 2025," jelasnya.
Tambah beliau, melalui siri pendidikan berskala kecil, Alif akan membantu meningkatkan pemahaman orang ramai tentang bagaimana takaful menyokong kestabilan kewangan jangka panjang dan keluarga.
Lew pada masa sama berkata, industri insurans Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh sepanjang tahun 2024 walaupun berdepan tekanan kos dan isu premium.
Beliau berkata, produk berkaitan pelaburan kekal menguasai pasaran, disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang meningkat daripada 3.6% pada 2023 kepada 5.1% tahun ini.
Prestasi positif itu turut dipacu oleh peningkatan perbelanjaan pengguna serta dasar digital dan kawal selia yang lebih mesra industri.
Beliau dalam pada itu mengakui, sektor insurans dijangka mengalami beberapa perubahan besar tahun ini, dengan kenaikan kos perubatan menjadi kebimbangan utama.
"Apabila kos rawatan meningkat, lebih ramai akan membuat tuntutan insurans. Ini boleh menyebabkan syarikat insurans menaikkan harga premium.
"Keadaan ini mendorong syarikat untuk mencipta produk baharu yang lebih sesuai dan mencari cara untuk mengawal kenaikan kos perubatan," ujarnya.
Lew menambah, penggunaan teknologi digital dalam industri sama juga dijangka terus berkembang, menawarkan perkhidmatan yang lebih tepat untuk setiap pelanggan dan mempercepat proses kerja. - DagangNews.com
standard


