Nuren Group rancang penyenaraian di Nasdaq, lantik ZICO Evolve Capital sebagai penasihat kewangan

LocalBusiness & Finance
5 May 2025 • 1:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nuren Group rancang penyenaraian di Nasdaq, lantik ZICO Evolve Capital sebagai penasihat kewangan

image is not available

05/05/2025 - 13:13

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Mei - Syarikat digital tempatan, Nuren Group Limited melantik ZICO Evolve Capital Sdn Bhd sebagai penasihat kewangan bagi menyusun strategi dan persediaan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Modal Nasdaq, Amerika Syarikat (AS).

Langkah itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha Nuren untuk berkembang ke peringkat global, terutamanya dalam menarik pelabur antarabangsa dan memanfaatkan pasaran modal yang lebih besar di AS.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Petrina Goh berkata, penyenaraian berkenaan bukan hanya tentang kewangan, tetapi langkah penting untuk mengukuhkan misi syarikat membina ekosistem digital wanita yang dipercayai di Asia Tenggara, dari perkahwinan hingga bergelar ibu.

"Kerjasama dengan ZICO Evolve Capital memberi kami bimbingan strategik bagi proses penyenaraian yang rumit di AS, sambil mengekalkan visi untuk masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

Ditubuhkan pada tahun 2013 oleh Goh, Nuren Group merupakan platform di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dalam bidang keibubapaan, pendidikan dan kesihatan ibu mengandung.

Kumpulan itu memiliki rangkaian platform terkenal seperti Motherhood.com.my, SuperApp Motherhood Parenting, Kelabmama.com, Ibuencer.com dan Wedding.com.my.

Platform berkenaan menawarkan pelbagai rumusan dan perkhidmatan dalam bidang media, e-dagang, keibubapaan dan penjagaan ibu.

Aplikasi SuperApp Motherhood Parenting sebagai contoh, direka untuk membantu lebih lima juta ibu bapa memantau kehamilan, mendapatkan maklumat kesihatan, mengikuti kandungan pakar dan membeli keperluan keluarga.

ZICO Evolve Capital, anak syarikat ZICO Holdings Inc. yang berpusat di Singapura pula, mempunyai pengalaman luas dalam pasaran modal rentas sempadan dan pernah membantu pelbagai syarikat Asia Tenggara dalam proses penyenaraian serta mendapatkan pelabur antarabangsa.

Ia memberi khidmat nasihat merangkumi strategi pasaran modal, persediaan menjelang penyenaraian, penyelarasan profesional dan bantuan dalam struktur modal.

Menurut Pengarah Eksekutif ZICO Evolve Capital, Chew Seng Kok, Nuren Group adalah contoh syarikat berimpak tinggi yang sesuai untuk pasaran global seperti Nasdaq.

"Kami teruja untuk membantu Nuren mendapat akses kepada modal lebih besar, membina jenama global dan merancang pengembangan antarabangsa untuk jangka panjang," katanya.

Penyenaraian di Nasdaq akan membuka lebih banyak peluang pembiayaan dalam mata wang dolar AS, memudahkan pengambilalihan rentas sempadan serta mempercepat daya cipta dan impak syarikat ke pasaran baharu.

Langkah itu juga akan meningkatkan kedudukan global Nuren, memperkukuh jenama dan memperkuat hubungan dengan pelabur antarabangsa serta rakan strategik. - DagangNews.com

standard