Hanya bayar RM30 tetapi masih ramai pemandu kenderaan perdagangan tidak buat pemeriksaan kesihatan

LocalHealth & Fitness
13 Aug 2026 • 4:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hanya bayar RM30 tetapi masih ramai pemandu kenderaan perdagangan tidak buat pemeriksaan kesihatan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu lebih ramai pemandu kenderaan perdagangan (komersial) menjalani saringan kesihatan susulan sambutan rendah diterima menerusi inisiatif ‘Health Check for Drivers’.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kos sebenar saringan kesihatan itu hanyalah RM85, namun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberikan subsidi RM55 bagi setiap pemandu.

Beliau berkata, kos ditanggung setiap pemandu hanya RM30 sahaja dan selebihnya ditanggung PERKESO.

“Ketika ini, tidak ramai pemandu memanfaatkan inisiatif itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan MOT, di sini hari ini.

Katanya, pemandu khususnya mereka yang semakin berusia perlu mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan sebarang masalah kesihatan dapat dikenal pasti lebih awal.

Menurutnya, pemandu mungkin tidak menyedari mereka mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau tanda-tanda diabetes tanpa pemeriksaan yang sewajarnya.

“Ini demi keselamatan mereka. Kerana kadangkala pemandu-pemandu tidak sedar bahawa mungkin mereka ada rekod kesihatan kerana tak ada pemeriksaan, mungkin darah tinggi, mungkin ada tanda-tanda diabetes dan sebagainya, itu perlu diperiksa lebih awal,” katanya.

Sebelum ini, MOT bersama PERKESO melaksanakan inisiatif Health Check for Drivers bermula 30 Jun lalu bagi memberi penekanan terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan pemandu, khususnya mereka yang membawa penumpang dan mengendalikan kenderaan perdagangan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kerajaan mahu mengubah pendekatan pemeriksaan kesihatan pemandu daripada sekadar mendapatkan pengesahan borang kepada pemeriksaan yang lebih menyeluruh.

“Sebelum ini pemandu hanya menyerahkan borang pemeriksaan kesihatan yang disahkan doktor atau klinik, namun pihak berkuasa tidak dapat memastikan sama ada pemeriksaan fizikal secara teliti benar-benar dilaksanakan.

“Kita tak kata tidak, tetapi cuma tidak dapat dipastikan adakah satu pemeriksaan yang teliti dilaksanakan,” katanya.

Katanya, MOT turut bekerjasama dengan PERKESO dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi mengenal pasti panel klinik untuk menggunakan sistem dalam talian.

Jelasnya lagi, menerusi sistem itu, doktor perlu memasukkan dapatan pemeriksaan kesihatan pemandu ke dalam sistem yang akan diintegrasikan dengan MySikap.

“Apabila pemandu memperbaharui lesen, laporan kesihatan mereka sudah tersedia dalam sistem berkenaan.

“Program itu masih baharu dan lebih banyak usaha kesedaran perlu dilakukan bagi menggalakkan pemandu mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan secara komprehensif,” katanya. – UTUSAN

The post Hanya bayar RM30 tetapi masih ramai pemandu kenderaan perdagangan tidak buat pemeriksaan kesihatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved