Jangan tunggu sakit! Kos pemeriksaan boleh cecah RM1,000, saringan kesihatan dan pergigian percuma bantu kesan masalah lebih awal

LocalHealth & Fitness
10 Aug 2026 • 6:58 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Jangan tunggu sakit! Kos pemeriksaan boleh cecah RM1,000, saringan kesihatan dan pergigian percuma bantu kesan masalah lebih awal

Image from: Jangan tunggu sakit! Kos pemeriksaan boleh cecah RM1,000, saringan kesihatan dan pergigian percuma bantu kesan masalah lebih awal
KESIHATAN sering menjadi perkara yang mudah ditangguhkan. Selagi badan terasa sihat dan tiada kesakitan, pemeriksaan berkala mungkin bukan keutamaan.

Hakikatnya, saringan kesihatan dan pergigian secara berkala penting bagi membantu seseorang mengetahui keadaan kesihatan diri lebih awal.

Atas sebab itu, orang ramai digesa mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma menerusi program komuniti yang dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk pertubuhan keagamaan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, program sebegitu wajar dimanfaatkan masyarakat memandangkan kos sebenar bagi pemeriksaan kesihatan dan pergigian kini boleh mencecah kira-kira RM1,000 bagi seorang individu.

Menurutnya, usaha memperluas saringan percuma di peringkat komuniti juga penting dalam membudayakan pemeriksaan kesihatan secara berkala, sekali gus menggalakkan masyarakat mengutamakan pencegahan berbanding rawatan.

“Kita mahu warga Selangor mempunyai kebiasaan untuk menjalankan saringan kesihatan setiap tahun, sekurang-kurangnya sekali.

“Ini kerana kesihatan seseorang sebenarnya berkait rapat dengan banyak aspek lain termasuk kualiti kehidupan, ekonomi dan kesejahteraan keluarga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma anjuran Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) pada Sabtu.

Pengerusi ALP HSIS, Datuk Dr Alagendran Vengadeson berkata, program berkenaan merupakan penganjuran kali ketiga dan kali ini hasil kerjasama Parlimen Puchong, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), perkhidmatan pergigian dan pertubuhan keagamaan.

Beliau berpandangan program sama wajar diperluas ke seluruh daerah di Selangor dan dilaksanakan secara berkala, sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun sekali.

“Kalau boleh, enam bulan sekali kita pergi dari satu daerah ke satu daerah di seluruh Selangor.

“Kalau kawasan pedalaman menghadapi masalah pengangkutan, kita boleh sediakan pengangkutan untuk membawa penduduk ke dewan atau lokasi tertentu supaya mereka dapat menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Langkah pencegahan menerusi saringan awal amat penting berikutan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol dan penyakit jantung.

“Saring dan periksa rakyat supaya kita tahu keadaan kesihatan mereka serta apa yang boleh dilakukan. Lebih baik kita buat pencegahan daripada membiarkan mereka sakit dan kemudian datang beramai-ramai ke hospital,” katanya.

Image from: Jangan tunggu sakit! Kos pemeriksaan boleh cecah RM1,000, saringan kesihatan dan pergigian percuma bantu kesan masalah lebih awal
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin menunjukkan contoh hidangan mengikut kempen suku suku separuh dalam usaha menjaga kesihatan.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan masyarakat menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala dan tidak hanya mendapatkan rawatan apabila sudah mengalami kesakitan.

“Biasanya kalau sudah sakit gigi, barulah berjumpa doktor gigi. Tetapi kalau kita buat pemeriksaan awal dan nampak gigi belum rosak tetapi berpotensi untuk rosak, kita boleh ambil tindakan dan selamatkan gigi itu.

“Kalau dibiarkan, akhirnya mungkin gigi itu terpaksa dicabut,” katanya.

Program sehari bermula jam 8 pagi hingga 4 petang itu menyaksikan lebih 500 warga Puchong hadir mendapatkan saringan kesihatan dan pergigian secara percuma, selain pelbagai program kesedaran kesihatan termasuk ceramah dan aktiviti untuk kanak-kanak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved