
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui bunga api sudah menjadi sesuatu yang sinonim dengan setiap perayaan yang disambut di Malaysia.
Bahkan ia juga merupakan salah satu keseronokan atau kemeriahan yang sering dinanti oleh orang ramai setiap kali tibanya perayaan.
Bak kata orang jika tiada bunga api ni tak lengkap lah perayaan yang disambut itu. Namun umum juga mengetahui bahayanya bunga api ini jika tidak dikendalikan dengan baik.
Ini kerana ia merupakan bahan api yang boleh mengundang kepada masalah keselamatan orang ramai.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Main Mercun Tanpa Kebenaran Boleh Dipenjara & Denda – KPN
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Ditahan Selepas Mercun Tanpa Permit Disimpan Meletup Dalam Kondominium Di Bangi
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Mercun Meletup Dalam Unit Apartmen Di Kajang, Disyaki Jadi Stor Penyimpanan [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Main Mercun Selepas 12 Malam Boleh Kena Tindakan – PDRM
2 jenis bunga api yang dibenarkan kerana tak mengandungi bahan bakar membahayakan
Terbaharu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan perbuatan memiliki, menjual, membeli termasuk bermain mercun dan bunga api tanpa kebenaran sempena mana-mana musim perayaan termasuk Tahun Baru Cina (CNY) adalah satu kesalahan undang-undang.
Namun terdapat dua jenis bunga api yang dibenarkan iaitu:
- Pop-Pop
- Happy Boom
Jelasnya kedua-dua jenis bunga api ini dibenarkan kerana ia tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Penjualan masih perlukan permit dari IPD
Menurut beliau lagi, penjualan bunga api bagi kedua-dua jenis itu masih lagi memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan serta hendaklah mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, individu yang memiliki, menjual, membeli mahupun bermain mercun serta bungan api tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan lanjut di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
“Masyarakat turut diingatkan supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi pukul 12 tengah malam kerana boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada orang awam.
“Sekiranya ingkar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 366) serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).”
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang untuk menjamin kesejahteraan serta keharmonian masyarakat dan mengelakkan insiden yang tak diingini dari berlaku.



