Hanya Mercun Pop-Pop, Happy Boom Dibenarkan Sempena Tahun Baru Cina – Polis

LocalPolitics
16 Feb 2026 • 3:21 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis menegaskan larangan terhadap sebarang aktiviti memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api tanpa kebenaran bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut Selasa ini.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya membenarkan penggunaan bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ kerana kedua-duanya tidak mengandungi bahan bakar yang boleh mengancam keselamatan.

Hanya dua jenis mercun dibenarkan

image is not available

“Bagaimanapun, penjualan bunga api ini tetap memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan dan perlu mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Mana-mana individu yang memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pesalah berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Fadil turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun dan bunga api selepas jam 12 tengah malam kerana ia boleh menyebabkan gangguan serta membahayakan keselamatan awam.

image is not available

“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” terangnya.

Artikel lain: Sambutan Hari Jadi Bertukar Tragedi, Bunga Api Dan Mercun Punca Dewan Terbakar

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa demi memastikan kesejahteraan dan keharmonian terpelihara sepanjang sambutan perayaan serta mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)

The post Hanya Mercun Pop-Pop, Happy Boom Dibenarkan Sempena Tahun Baru Cina – Polis appeared first on Borak Daily.