Hanya Cuci Kereta Singapura, PBT Diarah Tarik Balik Lesen Pusat Cuci Kereta

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2025 • 11:45 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Percaya atau tidak, wujud sebilangan pusat mencuci kereta yang hanya mengambil kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sahaja untuk dicuci di sekitar Johor Bahru.

Susulan itu, pihak berkuasa menegaskan pusat mencuci kereta yang hanya membenarkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sahaja untuk menggunakan servis itu berdepan risiko penutupan operasi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen perniagaan bagi mana-mana premis yang menganaktirikan pelanggan tempatan.

image is not available

Menurutnya, peniaga tidak sepatutnya mengehadkan perkhidmatan mereka kepada warga Singapura sahaja yang sanggup membayar lebih terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“Saya beri amaran kepada mana-mana peniaga yang membuat ketetapan seperti itu, jangan fikir nak untung sahaja, perlu ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.

“Jika mereka berterusan dengan meletakkan syarat seperti ini, PBT tidak teragak-agak untuk ambil tindakan atau menarik lesen perniagaan mereka,” katanya.

Terdahulu, ada portal berita melaporkan seorang lelaki terkejut apabila pusat mencuci kenderaan di Johor Bahru mengutamakan kenderaan dari Singapura.

Premis yang dijaga pekerja asing itu menolak permintaan pelanggan untuk mencuci kenderaan di situ dan hanya menerima kenderaan Singapura sahaja.

Salah seorang warganet mendakwa perkara itu bukan isu baharu setelah pelanggan Singapura membuat pembayaran menggunakan Singapura Dollar (SGD) yang menguntungkan peniaga.