SHAH ALAM – Seorang pemimpin UMNO membidas kenyataan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Isham Jalil yang menyarankan Presiden UMNO menurunkan ego dan memohon maaf kepada ahli yang dipecat atau digantung parti.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin berkata, kenyataan itu tidak wajar memandangkan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan keterbukaan dengan memberi peluang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti tanpa sebarang syarat.
Jelasnya, asasnya pintu UMNO sudah dibuka seluas-luasnya dengan Ahmad Zahid tidak meletakkan sebarang syarat untuk bekas ahli parti dipecat dan digantung ke pangkuan UMNO.
"Jadi yang perlu menurunkan ego bukan presiden parti, sebaliknya Isham sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng itu berkata, tindakan pemecatan terhadap Isham sebelum ini bukan berlaku tanpa sebab, sebaliknya berpunca daripada sikapnya yang kerap mengkritik parti secara terbuka serta tidak menghadiri beberapa mesyuarat MKT.
Malah, katanya, Isham juga secara terbuka menentang keputusan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), walaupun pembentukan kerajaan ketika itu dibuat susulan situasi Parlimen tergantung dan mengambil kira titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Jangan anggap diri terlalu suci.
"Jika benar darah UMNO mengalir dalam diri, tidak mungkin sanggup berdiri di pentas pihak lawan dan berkempen memburukkan parti sendiri,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Isham yang didakwa berkempen menentang UMNO dan menggunakan gelaran ‘UMDAP’ terhadap parti itu di media sosial.
Sebaliknya, Mohd Asna menegaskan beberapa tokoh yang pernah dikenakan tindakan disiplin seperti bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; bekas Ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan tidak pernah bertindak sepentas dengan pihak lawan untuk menyerang parti.
“Hanya kamu yang berada di pentas lawan berkempen memburukkan UMNO,” tegasnya.
Tambah beliau, sikap berlapang dada juga ditunjukkan Khairy yang secara terbuka menyatakan hasrat kembali ke pangkuan parti melalui agenda 'Rumah Bangsa'.
Sehubungan itu, Mohd Asna menasihatkan Isham supaya tidak terus mencari kesalahan pihak lain, sebaliknya bermuhasabah diri dan berbicara dengan lebih lunak serta rendah hati dalam memperkatakan hal berkaitan parti.
