Semangat kesederhanaan dari aspek kepercayaan, pengamalan serta undang-undang agama perlu ditanamkan dalam sistem pentadbiran kerajaan mahupun masyarakat Malaysia. Hanya masyarakat yang berpegang teguh kepada prinsip kesederhanaan agama akan mencapai kestabilan jangka panjang.
Tolak unsur terlalu konservatif
Masyarakat yang mengamalkan agama secara terlalu konservatif akan mengenakan kawalan yang semakin mengetat terhadap penduduknya sampai hak asasi mereka ditindas. Penduduk tidak akan diberi pilihan dalam gaya hidup masing-masing kerana undang-undang terlalu konservatif tersebut dikuatkuasakan ke atas mereka.
Hanya kerajaan dan masyarakat berteraskan prinsip kesederhanaan dari aspek agama akan menghormati kebebasan serta hak asasi para penduduknya. Ikatan kuat serta stabil yang berjangka panjang juga akan terbentuk antara penduduknya kerana mereka akan bersifat lebih menghormati, bertoleransi serta bertolak ansur terhadap satu sama lain, tak kira kepercayaan dan pengamalan masing-masing.
Saya sedar bahawa satu faktor utama bagi pengamalan agama kuat konservatif adalah semangat solidariti agama terhadap isu tertentu termasuk revolusi Iran, imperialisme terhadap negara Islam tertentu oleh sesetengah puak Barat, agenda geopolitik puak Barat untuk memupuk ketidakstabilan dalam beberapa negara Islam, dan kekejaman teruk terhadap rakyat Palestin. Perangai ini oleh puak-puak Barat merupakan jenayah teruk dan mesti ditentang kuat oleh semua orang tak kira bangsa atau agama.
Tetapi, pendekatan terlalu konservatif ini tidak mampan kerana ia hanya akan melibatkan individu yang menerima gaya hidup kuat konservatif. Akibatnya, pergerakan menolak imperialisme Barat tersebut akan jadi terlalu lemah untuk mengenakan impak bermakna sebab jumlah penyokongnya adalah sedikit. Apa-apa usaha atau pergerakan sebegini hanya akan menjadi cukup efektif jika ia berteraskan kesederhanaan dan toleransi.
Tolak unsur terlalu liberal
Bagi pemikiran dan cara hidup terlalu liberal pula, hak asasi masyarakat akan tertindas juga kerana kerajaan akan mementingkan kehendak golongan elit seperti bangsawan elit, syarikat-syarikat besar dan ahli politik lebih daripada kesejahteraan rakyat biasa melalui peraturan dan polisi terlalu longgar. Oleh demikian, dalam pengejaran keuntungan oleh golongan elit yang disemarakkan ketamakan besar, kualiti sosioekonomi rakyat biasa dan juga alam semula jadi sudah tentu akan terjejas.
Hala tuju sentimen agama di Malaysia
Di Malaysia, disebabkan penyalahgunaan agama dan bangsa sebagai alat politik dan pengalihan perhatian rakyat selama beberapa dekad ini, sentimen agama dalam pentadbiran serta masyarakat telah jadi agak konservatif dan wujud perasaan ketidakjaminan tinggi. Ini telah menyebabkan penghakisan hak asasi serta diskriminasi terhadap beberapa golongan tertentu dalam masyarakat kita.
Untuk mengelakkan kejatuhan kepada ekstremisme agama dan kemusnahan masyarakat kita, pihak kerajaan mesti mengambil langkah-langkah berikut secepat mungkin:
1. Parti politik harus bekerjasama dengan kumpulan atau NGO yang berteraskan kesederhanaan dan turun padang ke kawasan perumahan dan perkampungan di seluruh negara secara konsisten untuk berjumpa serta menyelesaikan isu-isu rakyat.
Sesi perjumpaan ini memberikan peluang untuk penyebaran prinsip kesederhanaan agama kepada rakyat biasa. Taktik turun padang ini digunakan oleh parti tertentu secara amat efektif dan terbuktinya dalam sokongan kuat mereka.
2. Undang-undang agama berteraskan nilai-nilai kesederhanaan seperti belas kasihan, kemaafan, pemahaman dan timbang rasa harus digubal serta dilaksanakan pada tahap persekutuan mahupun negeri. Undang-undang terlalu konservatif yang berteraskan kawalan, hukuman dan paksaan tidak efektif kerana penganut takkan memahami sebab sesuatu perbuatan tersebut disifatkan sebagai salah atau dilarang.
Pihak berkuasa bolehlah menasihatkan rakyat tentang isu-isu berkaitan agama, tetapi mereka mesti menghormati hak serta kebebasan asasi setiap individu dan tidak bercampur tangan dalam kehidupan peribadi orang melalui kepolisan moral (moral-policing).
3. Tindakan afirmatif berasaskan keperluan mesti dilaksanakan serta merta hanya terhadap golongan yang benar-benar memerlukannya tanpa pengambilan kesempatan oleh ahli politik untuk memfaedahkan diri sendiri, kroni dan rakannya.
4. Tindakan afirmatif berasaskan kaum pula mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab untuk membetulkan ketidakseimbangan perwakilan kaum hanya dalam sektor yang masih memerlukannya. Contohnya, kekurangan pekerja bukan Melayu dalam perkhidmatan sivil, dan kekurangan syarikat yang dimiliki orang Melayu pula dalam sektor SME. Untuk ini, sistem kuota boleh digunapakai untuk memantul komposisi kaum-kaum Malaysia secara lebih adil.
Ia mesti dilaksanakan dalam tempoh munasabah yang telah ditetapkan dan mesti ditamatkan selepas tempoh habis bagi mengelakkan diskriminasi terhadap golongan kaum tertentu seperti yang telah lama berlaku dalam Malaysia.
Melalui tindakan afirmatif sebegini, tahap sosioekonomi kebanyakan penduduk dapat ditingkatkan, mereka akan mencapai jaminan kewangan, dan apa-apa stres, dan perasaan insekuriti akan turun. Ini akan menjadikan mereka tidak lagi mudah terpengaruh dengan ideologi terlalu konservatif oleh puak-puak tertentu.
5. Prinsip kesederhanaan dalam kepercayaan dan pengamalan agama harus diterapkan oleh pihak kerajaan dalam semua peringkat pentadbiran untuk mengubah persepsi negatif dan sempit sesetengah penjawat awam.
6. Akta hasutan harus dikuatkuasakan secara tegas terhadap sesiapa yang menghina mana-mana agama dan kaum tak kira posisinya. Ia langsung tak adil jika hukuman hanya dikenakan terhadap rakyat biasa yang menghina mana-mana agama atau kaum tetapi mereka berkedudukan tinggi pula dilepaskan.
7. Semua bentuk media perlu digunapakai untuk menyebarkan prinsip kesederhanaan melalui perbincangan, perdebatan, pengumuman awam, dan sebagainya. Lebih banyak liputan berita tentang penduduk yang bersikap sederhana dan membantu orang yang berlainan bangsa dan agama.
8. Kerajaan harus menggalakkan kerjasama antara mana-mana NGO berasaskan kaum dan agama untuk berbincang bersama cara menyelesaikan isu-isu sosioekonomi yang sedang menimpa masyarakat umum.
Untuk masa yang agak lama, rakyat Malaysia dibahagikan mengikut agama dan bangsa. Hanya perbincangan dan kerjasama terhadap isu-isu sosioekonomi dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama secara efektif. Interaksi semasa proses bekerjasama tersebut akan melahirkan fahaman serta toleransi organik sesama orang berlainan bangsa dan agama, lalu mewujudkan masyarakat lebih sederhana dan bertoleransi.
Pemimpin kita mesti mengetepikan agenda politik masing-masing dan menanamkan semangat kesederhanaan agama dalam kerajaan serta masyarakat demi kemakmuran dan kestabilan berjangka panjang.
Terima kasih kerana membaca artikel saya dan sila kongsikan pendapat anda kat ruang komen! Jika anda berminat baca artikel saya yang lain, sila klik di sini.
Raveen (raveen.veerasenan@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.






