Hanya satu premis ada lesen - MBJB siasat aktiviti haram di tapak stor terbakar

22 Jun 2025 • 6:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu termasuk 15 kenderaan turut musnah. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengesan sebanyak 10 premis milik syarikat berbeza yang beroperasi secara sewaan di kawasan kebakaran stor penyimpanan lori dan minyak enjin di Jalan Cenderai, Taman Kota Puteri, Masai, di sini.

Tapak seluas 64,664 meter persegi itu dikesan menempatkan pelbagai jenis premis termasuk tempat mencuci kenderaan, parkir lori, bengkel dan premis barangan lusuh, namun hanya satu premis didapati memiliki lesen yang sah.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, siasatan awal mendapati hanya sebuah premis penyimpanan minyak kelapa sawit memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh MBJB dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Tanah ini disewakan kepada beberapa premis dan hanya satu daripadanya berlesen. MBJB akan mengambil tindakan susulan termasuk memaklumkan perkara ini kepada SWCorp kerana terdapat premis barangan lusuh yang turut beroperasi di situ,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari semalam, lima premis melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan 15 kenderaan.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati laluan ke kawasan kebakaran ditutup oleh pihak berkuasa sejak awal pagi, manakala orang ramai kelihatan berhimpun di sekitar lokasi bagi melihat kesan kebakaran. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved