Hanya tinggal 11,000 ekor babi di Tanjong Sepat - Exco

LocalPolitics
28 May 2026 • 1:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hanya tinggal 11,000 ekor babi di Tanjong Sepat - Exco
Izham

KUALA LANGAT - Kerajaan Selangor mengenal pasti hanya 11,000 ekor babi masih ditempatkan di ladang sekitar Tanjong Sepat sebelum operasi ditutup sepenuhnya dalam masa terdekat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, jumlah itu melibatkan kira-kira 30 ladang yang masih beroperasi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, baki ternakan itu belum cukup matang untuk dilupus atau disembelih selepas semua pengusaha diarah menghentikan operasi sejak Februari lalu.

"Tiada anak babi dibawa masuk dan semuanya akan disembelih di pusat penyembelihan di Rawang.

"Proses ini dijalankan secara berperingkat dan kita jangka akan segera selesai nanti,” katanya pada program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (Wajar) di Surau Haji Hassan Sijangkang di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Izham berkata, kerajaan negeri akan membantu 87 pengusaha ladang babi beralih kepada aktiviti pertanian lain selepas perusahaan ternakan berkenaan dihentikan.

Katanya, perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sudah diadakan bagi mencari kaedah terbaik membantu pengusaha terlibat.

"Peralihan itu penting bagi memastikan aktiviti pertanian bernilai tinggi dapat dilaksanakan di atas kawasan seluas 350 ekar ini,” katanya.

Beliau berkata, satu mesyuarat turut dijadualkan pada 9 Jun depan bagi mengenal pasti langkah terbaik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri termasuk usaha pemulihan tanah di kawasan terlibat.