johardy28/05/2026 - 17:25 Satu daripada ladang penternakan babi di Tanjong Sepat, Selangor - Gambar Sahabat Alam Malaysia Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Mei - Satu mesyuarat akan diadakan pada 9 Jun ini bagi menilai bantuan kepada penternak babi yang terjejas susulan penutupan ladang di Tanjong Sepat, Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim berkata mesyuarat itu akan meneliti langkah bantuan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk usaha pemulihan tanah serta bantuan kepada 87 pengusaha ladang babi terlibat untuk beralih kepada aktiviti pertanian lain yang lebih sesuai selepas operasi ternakan dihentikan sepenuhnya.
Beliau berkata proses penutupan ladang babi di Tanjong Sepat kini berada di peringkat akhir dengan hanya kira-kira 11,000 ekor ternakan masih terlibat dan dijangka selesai sepenuhnya dalam masa terdekat.
Izham menambah, penutupan itu melibatkan kira-kira 30 ladang yang masih beroperasi pada pelbagai peringkat selepas notis pengosongan dikeluarkan, berikutan ternakan yang masih belum cukup matang untuk dilupuskan sejak Februari lalu.
“Tiada anak babi baharu dibawa masuk dan semua akan disembelih di rumah sembelih di Rawang. Jadi proses ini dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernamai pada Program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Selangor (Wajar) di Surau Haji Hassan, Sijangkang, hari ini.
Penguatkuasaan 1 Julai 2026
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah dilaporkan berkata semua ladang babi di kawasan itu akan ditutup sepenuhnya menjelang akhir Jun sebelum tindakan penguatkuasaan bermula pada 1 Julai.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memberi tempoh fleksibiliti selama enam bulan kepada pengusaha untuk menutup operasi, termasuk menjual ternakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Tindakan itu dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan pendirian tidak bersetuju terhadap sebarang aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah di Selangor. - DagangNews.com
