Hanz Haiqal rangkul gelaran antarabangsa pertama

8 Sep 2022 • 1:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pemain badminton Sabah Hanz Haiqal Azahawari merangkul gelaran antarabangsa pertamanya di Kejohanan Badminton Terbuka Ireland Bawah-19 FZ FORZA yang diadakan di Dublin, Ireland pada Ahad lalu (4 September).

Pemain berumur 18 tahun itu menewaskan pemain tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Vincent Pontanosa 21-15, 21-9 di final.

Hanz, yang merupakan pemain bukan pilihan, sebelum itu mengejutkan pilihan pertama Mathew Chung dari negara tuan rumah 21-15, 21-19 di pusingan ketiga.

Dia menyusulinya dengan kemenangan 21-17, 14-21, 21-17 di suku akhir menentang pemain pilihan kelima dari Jerman, Kjell Wagner, sebelum menempah tempat di final dengan menumpaskan pemain pilihan kelapan Angus Meldrum dari Scotland 20-22, 21-14, 21-10.

Pemain berpangkalan di Kuala Lumpur itu sangat gembira dengan kemenangan sulungnya itu dan mengucapkan terima kasih kepada bekas pemain antarabangsa Ismail Saman yang juga ketua jurulatih Petaling United Badminton Club, jurulatih berpangkalan di Sabah Datu Mohd Saffuan Nizam, Steve Albern Soleten, Persatuan Badminton Sabah, keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka.

Sementara itu, bapanya yang juga bekas pemain kebangsaan, Azahawari Osman turut gembira dengan kejayaan anaknya.

Menurut beliau, anaknya itu tidak lagi bersama Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara selepas menamatkan SPM tahun lalu.

“Kami sangat gembira dengan kemenangannya dan keputusan itu jelas menunjukkan kemajuan dalam permainannya.

“Dia ketika ini berlatih dengan Petaling United Club di bawah bekas pemain ranking keenam dunia Ismail Saman dan bersama Datu Saffuan Nizam jika dia kembali ke Kota Kinabalu untuk bercuti,” katanya.

Tambahnya perjalanan ke Ireland ditaja sendiri dan kejohanan Hanz yang seterusnya ialah di Malaysia sebelum satu lagi kejohanan di luar negara di Finland pada November.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.