
GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan vape bagi mengelakkan negara terus menanggung beban kos rawatan penyakit berkaitan produk itu yang mencecah RM369 juta setahun.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V. Subbarow berkata, jumlah itu bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah pembaziran besar apabila penyakit akibat penggunaan vape sebenarnya boleh dicegah menerusi tindakan lebih tegas dan menyeluruh.
Katanya, wang yang dibelanjakan itu sepatutnya boleh disalurkan kepada program pendidikan kesihatan.
“CAP terkejut apabila mendengar Kementerian Kesihatan membelanjakan RM369 juta setahun untuk merawat penyakit berkaitan vape. Ini tidak logik dan tidak masuk akal untuk membelanjakan berjuta-juta untuk penyakit yang boleh dihentikan dengan mengharamkan vape.
“Mengapakah kelewatan pengharaman vape? Apa lagi yang perlu dinilai berdasarkan bukti saintifik untuk pengharaman menyeluruh. Tidak perlu menunggu lama. Sudah terdapat kajian yang mencukupi, bukti untuk vape diharamkan,” katanya di sini.
Menurutnya, beberapa negara juga telah mengambil langkah mengharamkan atau mengetatkan penggunaan vape demi melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin tanpa menunggu lebih banyak bukti.
“Mereka tidak menunggu sebarang bukti saintifik. Mereka bimbang tentang generasi muda mereka. Antaranya negara ASEAN, Filipina dan Malaysia masih belum mengharamkan vape.
“Malaysia tidak seharusnya terus berlengah kerana setiap kelewatan hanya meningkatkan risiko kesihatan awam dan menambah beban kewangan negara,” ujarnya.
Katanya, setiap pengguna vape turut membelanjakan sekurang-kurangnya RM150 sebulan bagi membeli cecair dan produk vape, sekali gus menunjukkan ketagihan itu turut memberi kesan kepada ekonomi isi rumah.
Kelmarin, media melaporkan beban kos kesihatan dan ekonomi akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dianggarkan mencecah kira-kira RM369 juta setahun, melebihi jumlah hasil duti eksais produk itu yang dikutip kerajaan.
Kementerian Kesihatan bagaimanapun menegaskan, kutipan hasil duti eksais bukanlah justifikasi untuk membenarkan penjualan produk vape di pasaran. – KOSMO! ONLINE
The post Haramkan vape, kos rawatan RM369 juta setahun – CAP appeared first on Kosmo Digital.




