Kos RM300 juta setahun anjur Formula Satu

30 Jul 2026 • 8:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kos RM300 juta setahun anjur Formula Satu

SEPANG: Hasrat membawa semula Formula Satu (F1) ke Malaysia sebagai perlumbaan tetap dalam kalendar bukan sesuatu yang mustahil, namun, ia bergantung kepada dua faktor utama iaitu kekosongan slot dan kemampuan menyediakan kos hampir RM300 juta setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Sepang pada 2 hingga 4 Oktober ini, SIC hanya bertindak selaku tuan rumah bagi pihak negara itu dan belum boleh dianggap sebagai petanda F1 akan kembali secara tetap ke Malaysia.

Menurutnya, keputusan tersebut memerlukan pertimbangan menyeluruh kerana yuran hak penganjuran F1 ketika ini mencecah antara AS$70 juta hingga AS$80 juta (RM286-RM326 juta).

“Fokus kita sekarang adalah menjayakan perlumbaan ini dahulu. Kalau kita berjaya memperoleh keyakinan kerajaan, Formula One Management (FOM) dan Bahrain, mungkin perkara itu boleh dipertimbangkan semula.

“Tetapi ada dua syarat utama. Pertama, kita perlu mempunyai dana untuk membayar yuran hak penganjuran dan kedua, perlu ada kekosongan slot dalam kalendar F1. Kalau tiada slot, ia tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini lebih memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat serta kos sara hidup berbanding membelanjakan dana besar bagi acara sukan antarabangsa.

Bagaimanapun, Azhan Shafriman percaya penganjuran F1 mampu memberi pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara.

“Berdasarkan data yang saya lihat, kebanyakan negara tuan rumah memperoleh pulangan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada pelaburan dibuat.

“Kalau kita belanja sekitar RM300 juta, potensi pulangan ekonomi kepada negara boleh mencecah RM1 bilion,” katanya.

Tambah beliau, data daripada perlumbaan Bahrain GP di Sepang nanti akan menjadi antara penilaian penting sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan mengenai masa depan F1 di Malaysia. – UTUSAN

The post Kos RM300 juta setahun anjur Formula Satu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved