
BEAUFORT: Wakil rakyat Lumadan Datuk Ruslan Muharam berharap Kerajaan Negeri dapat menilai semula keperluan peruntukan tambahan RM10 juta bagi membantu mangsa banjir di Sabah.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata peruntukan itu jelas tidak mencukupi untuk menangani keperluan semua kawasan yang terjejas banjir.
Sebagai wakil rakyat katanya beliau melihat kerosakan kemudahan awam dan harta benda penduduk khususnya di Lumadan amat besar dan situasi ini juga belum merangkumi kawasan terjejas lainnya.
“Jumlah RM10 juta bukan satu angka besar dalam kita berhadapan musibah banjir apabila banyak kemudahan awam rosak selain tanaman dan ternakan penduduk.
“Pada masa sama jentera kerajaan juga sudah siap sedia untuk segera menyalurkan bantuan yang perlu kepada mangsa banjir namun terhalang kerana peruntukan disediakan agak terhad.
“Justeru saya merayu agar dana ini dilihat semula dengan segala kerosakan yang berlaku khususnya jalan raya yang harus segera dibaiki selepas dilanda banjir baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Kampung Maraba pada Selasa.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membantu mangsa banjir di Sabah.
Beliau berkata dana berkenaan akan disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan terutamanya pembaikan segera kemudahan asas.
Sementara itu bercakap mengenai majlis berkenaan Ruslan berkata pembinaan Dewan Terbuka Kampung Maraba dengan kos lebih RM1 juta yang telah pun bermula dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.
Menurutnya pembinaan insfrastruktur berkeluasan 16,000 kaki persegi di atas tanah seluas 3.5 ekar itu akan dilengkapi kemudahan asas lengkap termasuk empat buah gerai jualan.
“Pembinaan dewan ini bagi menggantikan dewan sedia ada yang telah dirobohkan sebelum ini kerana lokasinya yang berada di jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Beaufort-Sipitang.
“Peruntukan bagi projek ini juga adalah hasil pampasan Lebuh Raya Pan Borneo yang pihak kami telah uruskan hingga kemudahan ini akhirnya dapat dibina di satu lokasi baharu.
“Sebaik siap hujung tahun ini ia akan memberi manfaat bukan saja kepada penduduk setempat untuk sebarang aktiviti sosial tetapi juga kampung-kampung sekitar,” ujarnya.
