Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membantu mangsa banjir di Sabah.
Beliau berkata dana itu akan disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan, khususnya untuk pembaikan segera kemudahan asas.
“Selain peruntukan sebanyak RM11 juta telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Nadma bagi disalurkan terus kepada mangsa terkesan.
“Kerajaan Madani akan memastikan setiap keluarga terkesan segera menerima bantuan,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.


PM Anwar lulus peruntukan segera
Tegas beliau, seluruh jentera Kerajaan Madani telah diarahkan digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk bersatu padu serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu mangsa banjir.
“Zahirkan semangat kebersamaan, kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” tambahnya.
Sumber: FB Anwar Ibrahim


