“Harap semua berhenti berspekulasi” – Misteri Kematian Zayn Rayyan Hanya Akan Terungkai Ketika Perbicaraan

13 Jun 2024 • 5:30 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semua peruntukan yang diberikan undang-undang kepada pihaknya dalam merungkai kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, misteri kematian Zayn Rayyan itu hanya akan terungkai ketika perbicaraan di mahkamah yang akan bermula bulan depan.

Menurutnya, sepanjang siasatan yang telah dilakukan, pilak polis telah bekerjasama dengan pihak pendakwa raya dan pihak PDRM berharap semua rakyat Malaysia berhenti membuat spekulasi kerana perbicaraan akan bermula tidak lama lagi.

image is not available

Tambahnya lagi, segala-galanya akan didedahkan semasa perbicaraan yang bakal berlangsung dan meminta orang ramai mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan.

“Semuanya akan didedahkan semasa perbicaraan”

Mohd Shuhaily berkata, kes Zayn Rayyan pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berdasarkan bukti yang dikumpul, petunjuk dan juga laporan bedah siasat.

Selain itu, berdasarkan perbincangan menyeluruh dengan Jabatan Peguam Negara, mereka berasakan buat masa ini undang-undang yang sesuai digunakan bagi mendakwa suspek adalah di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa sehingga RM50,000 denda atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

image is not available

Pun begitu, jelas Shuhaily, pihaknya akan menyiasat lebih lanjut sekiranya ada arahan daripada Jabatan Peguam Negara Malaysia dan bergantung kepada prosiding perbicaraan.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily turut menjelaskan dakwaan bahawa peguam tidak diberi akses kepada ibu bapa Zayn Rayyan semasa reman adalah berdasarkan budi bicara polis untuk berbuat demikian di bawah Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah dan pihaknya tidak mempunyai motif tersembunyi, melainkan untuk mencapai hasil terbaik siasatan.

Tambahnya lagi, satu pasukan petugas khas dibentuk untuk mengkaji semua bukti dan mereka telah meneliti beribu-ribu halaman transkrip, klip rakaman cctv serta laporan daripada pakar patologi dan forensik.

Sumber : Majoriti

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.