Harapan peristiwa tidak berulang. Cubaan rampasan kuasa kerajaan ‘sangat memalukan dan tidak beretika’, kata Hajiji

Politics
14 Nov 2023 • 1:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berharap peristiwa hitam cubaan rampasan kuasa kerajaan awal tahun ini, tidak berulang lagi demi kemajuan dan kemakmuran negeri.

Merujuk kepada peristiwa dipanggil Langkah Kinabalu pada Januari, Hajiji berkata peristiwa itu sebenarnya sukar untuk dilupakan, dan antara titik hitam dalam sejarah politik Sabah yang sangat mengecewakan.

“Masih segar dalam ingatan kita semua akan suatu cubaan kudeta politik pada awal tahun ini oleh segelintir pemimpin atau kumpulan, yang juga merupakan rakan kita sendiri.

“Akibat daripada cubaan itu, segala urusan pentadbiran negeri telah terganggu seketika,” katanya dalam Ucapan Dasar sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Perhimpunan Agung pertama parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.

Hajiji berkata, suasana ketika itu amat genting dan kerajaan negeri nyaris-nyaris lumpuh serta hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan kuasa pemerintahan.

“Rakyat menjadi cemas. Mereka bimbang kalau-kalau akan berlaku lagi Pilihan Raya Negeri. Satu situasi yang tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh mewujudkan tanggapan ketidakstabilan politik.

“Namun, berkat sokongan daripada rakan-rakan yang asalnya parti lawan, iaitu Pakatan Harapan Sabah, kerajaan yang berpaksikan kepada GRS ini telah dapat diselamatkan dan terus memegang tampuk kerajaan.

“Terima kasih kepada rakan-rakan daripada PH termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN/Umno yang tetap menyokong dan mendokong Kerajaan GRS, lalu menjadikan kerajaan negeri hari ini dikenali sebagai Kerajaan GRS-PH Plus,” katanya.

Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata peristiwa Langkah Kinabalu itu membolehkan “kita tahu siapa kawan dan lawan, dan lebih penting kita dapat mengenali hati budi sahabat sejati.”

Hajiji menegaskan bahawa tindakan hendak menumbangkan kerajaan demokratik pilihan rakyat dengan sewenang-wenangnya dan sebegitu rupa, adalah suatu tindakan terdesak yang “sangat memalukan dan tidak beretika”.

Beliau mengulangi pentingnya Gagasan Rakyat diperkukuhkan sebagai satu-satunya landasan perjuangan, dan menyifatkan parti itu sebagai “rumah kita” yang perlu dijaga bersama.

“Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah kita, kitalah yang jaga,” katanya.

Hajiji juga mengingatkan ahli parti untuk bekerja keras bagi menghadapi pilihan raya negeri pada bila-bila masa.

“Walaupun kita masih mempunyai tempoh dalam dua tahun lagi, namun siapa tahu kemungkinan pilihan raya akan kita awalkan?,” tegasnya.

Untuk itu, katanya, kepimpinan parti semua peringkat wajib terus diperkukuh dan tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk parti, rakyat dan negeri.

Hajiji berkata, sejak tiga tahun kebelakangan ini, Kerajaan GRS-PH Plus telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk membantu segenap lapisan rakyat, di samping meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada.

Beliau mengambil beberapa contoh dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan dan pembelaan nasib golongan wanita.

Hadir sama, bekas Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Tan Sri Musa Aman, Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Osu Sukam; selain Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Kurup dan pesuruhjaya PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.