
Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata kebanyakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Sabah lemah kerana tidak diurus dengan baik.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak mengutamakan kepentingan GLC terbabit terutama dalam aspek pelantikan lembaga pengarah yang berteraskan pengisian kuota parti politik berbanding merit.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata beberapa GLC melantik pegawai daripada keluarga dan kroni, sambil membayar elaun dan gaji yang terlalu tinggi sehingga menjejaskan sumber kewangan GLC.
“Ini menyebabkan pengurusan GLC menjadi jumud, lemah dan tidak berdaya saing.
“Sebab itu kebanyakan GLC di negeri ini mengalami kerugian berbanding keuntungan dan perkara ini harus dielakkan daripada menjejaskan GLC terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.
Beliau menjawab kenyataan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun bahawa lebih banyak GLC yang rugi berbanding GLC yang mengaut keuntungan.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan yang boleh meneruskan pembiayaan GLC apabila ia tidak menguntungkan.
Bung yang juga Pengerusi Umno Sabah berkata sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mengubah strategi pelantikan ahli lembaga pengarah bagi setiap GLC dan ahlinya bekerja mengikut strategi perniagaan.
Beliau menegaskan bahawa merit dan pengalaman latar belakang seseorang harus diutamakan apabila melantik ahli lembaga pengarah, dan bukan berdasarkan kuota parti politik yang memerintah.
“Kerajaan Negeri perlu melakukan perubahan bagi memastikan GLC lebih berdaya saing, diurus dengan baik, berorientasikan keuntungan dan berkesan dalam perniagaan yang diterokai,” kata Adun Lamag itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


