Harga asas Netflix Malaysia turun hari ini dengan resolusi lebih tinggi

Digital
21 Feb 2023 • 11:35 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Sudah beberapa bulan pengguna Netflix menanti bom jangka menunggu ketibaan larangan perkongsian akaun. Tetapi hari ini Netflix Malaysia membawa satu khabar gembira, tetapi bukan untuk pengguna yang berkongsi akaun Netflix.

Pengguna di Malaysia kini boleh melanggan Netflix dengan lebih murah apabila harga untuk pelan Asas (Basic) diturunkan sebanyak RM7. Sebelum ini pelan Asas memiliki harga RM35/bulan dan dengan harga baru, ia menjadi RM28/bulan.

Harga baru ini akan berkuatkuasa serta merta dan ia akan diperbaharui untuk pengguna sedia ada pada kitaran bil mereka yang akan datang. Pengguna baru yang mendaftar sekarang, akan dikenakan harga baru RM28.

Bukan itu sahaja, pelan Asas yang dahulunya menyediakan tontonan SD 480p sahaja, kini dinaik taraf dan menyokong tontonan HD 720p. Lain-lain perkara dilihat masih serupa seperti boleh ditonton di 1 skrin sahaja, serta menyokong tontonan di telefon, tablet, komputer serta di TV.

Jika anda mahu pelan lebih murah dan menonton di telefon atau tablet sahaja, boleh langgan pelan Mudah Alih RM17 yang menyediakan resolusi tontonan SD 480p.

Buat pengguna yang berkongsi akaun menerusi pelan Standard atau Premium, tiada sebarang perubahan harga diumumkan. Masih kekal RM45 untuk Standard dan RM55 bagi Premium. Selain boleh ditonton serentak lebih dari 1 peranti (2 serentak di Standard dan 4 serentak di Premium), ia juga menyokong resolusi tontonan lebih tinggi iaitu FHD 1080p di Standard dan 4K+HDR di Premium. TV besar dengan sokongan 4K dan HDR pasti menerima manfaat lebih baik dengan pelan Premium. Selain itu, pelan Premium turut boleh menikmati audio spatial yang memberikan pengalaman menonton lebih mengasyikkan.

image is not available

Tetapi pengguna Standard dan Premium yang berkongsi akaun dengan pengguna di luar rumah, pastinya masih tidak senang duduk menantikan pengumuman Netflix tentang larangan berkongsi akaun. Perkara ini sudah sekian lama diumumkan Netflix untuk meningkatkan pendapatan mereka yang kian merudum, tetapi masih belum dikuatkuasakan. Beberapa negara di Amerika Selatan, telah dikenakan bayaran tambahan untuk perkongsian akaun tetapi ia masih tidak dilaksanakan di negara lain, termasuk Malaysia.

Adakah Netflix masih belum menemui cara terbaik menjalankannya supaya benang yang ditarik di dalam tepung tidak terputus dan tepung tidak berselerak? Buat masa ini, nikmatinya dahulu sementara masih ada.

[Sumber: Netflix]

Bacaan Berkaitan