SHAH ALAM - Harga barangan import berpotensi meningkat antara tiga hingga 10 peratus dalam tempoh dua bulan akan datang kesan peningkatan kos bahan api, logistik dan insurans susulan konflik di Asia Barat.
Pengarah Urusan Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, bagaimanapun pada masa ini harga barangan masih stabil kerana bekalan sedia ada mencukupi.
"Ketika ini pembekal kami di China masih mengekalkan harga seperti sebelum ini. Kesan kenaikan dijangka dirasai dalam tempoh dua bulan akan datang, dengan anggaran peningkatan antara tiga hingga 10 peratus.
"Pada masa sekarang, semua premis perniagaan masih menjual barangan mengikut harga biasa dan kami tidak dibenarkan menaikkan harga kerana ia melanggar peraturan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, rakyat akan mula merasai tekanan harga barang apabila stok baharu tiba.
Fadillah menjelaskan, meskipun konflik di Asia Barat berakhir, proses pemulihan bekalan tenaga global dijangka mengambil masa panjang berikutan kemusnahan terhadap fasiliti penapisan minyak.
Mengulas lanjut, Ameer berkata, faktor lain yang mendorong kenaikan ialah kekurangan bahan asas seperti baja urea dan kesan perubahan cuaca global yang memberi tekanan kepada pengeluaran makanan asas.
“Ini termasuk barangan seperti sayur-sayuran, makanan asas dan beberapa produk lain yang bergantung kepada import," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan bahawa harga barangan import akan melonjak sehingga 30 hingga 50 peratus.
Beliau menegaskan rakyat tidak perlu panik kerana situasi masih terkawal dengan bekalan mencukupi untuk sebulan atau lebih.
"Kita tidak perlu panik sangat dan keduanya, jangan buat kenyataan yang menyebabkan rakyat menjadi panik," katanya.
