Harga beras terkawal sehingga hujung tahun

LocalBusiness & Finance
8 May 2026 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harga beras terkawal sehingga hujung tahun
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika ditemu bual pemberita pada Majlis Perasmian Kampung dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Guar Petai hari ini.- Foto Bernama

TASEK GELUGOR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan harga beras negara masih berada pada tahap terkawal sehingga hujung tahun ini walaupun konflik geopolitik dan kenaikan kos import bahan mentah dijangka memberi tekanan kepada sektor makanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini, keadaan masih terkawal namun jika konflik berpanjang, ia dibimbangi akan berlaku perubahan harga.

"Setakat ini alhamdulillah, semua berada dalam tahap yang masih terkawal. Tetapi kalau berpanjangan, misalnya harga beras. Beras di India tak naik. Di Vietnam tak naik. Daripada segi pengangkutan, jika nak bawa ke sini, maka itu yang dibimbangi akan berlaku perubahan harga.

"Namun sehingga akhir bulan tahun ini, Insya-ALLAH harga beras di negara berada dalam keadaan yang terkawal. Kalau selepas daripada itu, kena lihat harga semasa, harga import terutama sekali kos.

"Seperti saya kata tadi akibat daripada bahan api, ia akan memberi kesan. Kalau (berlaku dalam) jangka panjang, memang teruk," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Menora, Kampung Guar Petai di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun memantau rapat kesan kenaikan harga import jagung dan soya yang menjadi antara bahan utama makanan ternakan kerana ia boleh memberi kesan kepada harga ayam dan telur pada masa akan datang.

Menurutnya, Malaysia ketika ini hampir 100 peratus bergantung kepada import jagung dan soya menyebabkan sebarang peningkatan harga di pasaran global akan turut memberi kesan kepada kos pengeluaran tempatan.

“Setakat ini semua berada dalam tahap yang masih terkawal.

“Kalau berlaku kenaikan pun, kita harap tiada manipulasi harga dan sekurang-kurangnya berada di bawah harga siling yang pernah ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Mohamad menambah, kementerian kini sedang mempergiat usaha meningkatkan pengeluaran jagung bijirin tempatan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan import.

Katanya, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pengeluaran jagung tempatan menjelang tahun 2030 dengan projek penanaman berskala besar akan dimulakan di Perlis bulan ini melibatkan lebih 2,000 hektar kawasan.

“Kita nak 30 peratus jagung itu pengeluaran tempatan kerana sekarang hampir kosong.

"Begitu juga dengan bawang, tahun ini kita mula penanaman secara lebih besar dan kita harap empat tahun lagi mampu capai 30 peratus bekalan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah kini menunjukkan perkembangan positif dalam pengeluaran bawang tempatan khususnya di kawasan Kundasang.

Sementara itu, mengulas dakwaan pesawah mengenai peningkatan kos penanaman padi, Mohamad berkata, kementerian mengambil serius semua pandangan dan rungutan yang dibangkitkan golongan pesawah.

Menurutnya, kerajaan sentiasa meneliti keperluan semasa petani termasuk bantuan subsidi yang bersesuaian mengikut kemampuan kewangan negara.

“Kita sensitif dengan tuntutan mereka dan semua pandangan dibincangkan di peringkat kementerian.

"Perdana Menteri sendiri telah meluluskan bantuan RM200 untuk kerja membajak sawah bagi membantu pesawah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kos penanaman padi di seluruh negara kini dikatakan melambung sehingga mencecah antara RM6,000 ke RM7,000 per hektar berikutan krisis tenaga dan ketiadaan subsidi diesel untuk sektor berkenaan.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, Bantuan Khas Insentif Pembajakan sebanyak RM200 per hektar dijangka tidak mampu menyelesaikan isu struktur kos operasi pertanian yang semakin meruncing.

Beliau berkata, bantuan berjumlah RM48 juta itu umpama memberi ubat penahan sakit tanpa memberikan antibiotik sebenar kepada petani untuk menyembuhkan penyakit.