Program Kampung Angkat Madani bawa pembangunan ke Guar Petai

LocalPolitics
8 May 2026 • 3:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Program Kampung Angkat Madani bawa pembangunan ke Guar Petai
Mohamad (tengah) menanam pokok petai sebagai simbolik ketika merasmikan Program Kampung Angkat Madani, Kampung Guar Petai di Tasek Gelugor pada Jumaat.
Image from: Program Kampung Angkat Madani bawa pembangunan ke Guar Petai
Mohamad Sabu (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian Hizatul Haliza Hashim. FOTO: Bernama
Image from: Program Kampung Angkat Madani bawa pembangunan ke Guar Petai
Mohamad (tengah) menandatangani plak perasmian Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Guar Petai di Tasek Gelugor pada Jumaat. - FOTO: Bernama
Image from: Program Kampung Angkat Madani bawa pembangunan ke Guar Petai
Ishak
Image from: Program Kampung Angkat Madani bawa pembangunan ke Guar Petai
Hashimah
Image from: Program Kampung Angkat Madani bawa pembangunan ke Guar Petai
Muhamad Farith

TASEK GELUGOR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM700,000 bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Guar Petai serta Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora di sini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan bagi pembangunan dan kesejahteraan komuniti Kampung Guar Petai sebagai Kampung Angkat Madani.

Menurutnya, peruntukan itu melibatkan pelbagai projek pembangunan infrastruktur awam termasuk kerja penurapan dan naik taraf jalan kampung sepanjang kira-kira satu kilometer bernilai RM200,000.

Selain itu katanya, sebanyak RM90,000 diperuntukkan bagi kerja membaik pulih rumah kategori usang manakala RM50,000 lagi bagi kerja mendalam dan melebarkan longkang tanah sedia ada serta memangkas pokok.

“Turut dilaksanakan ialah kerja keceriaan masjid melibatkan aktiviti mengecat, penurapan parkir, pemasangan lampu dan papan tanda dengan kos RM50,000 selain pemasangan enam unit tiang lampu solar bernilai RM25,000.

"Saya tahu, orang kampung ini bukan nak minta banyak. Mereka cuma mahu hidup lebih baik, jalan elok, sekolah anak-anak baik, peluang kerja ada, pertanian boleh maju dan kerajaan jangan lupa kepada mereka.

"Sebab itu saya selalu kata, pembangunan negara jangan hanya cantik di bandar. Jangan lampu hanya terang di bandar, bangunan tinggi di Kuala Lumpur tetapi kampung masih gelap, jalan masih pecah, parit masih tersumbat, sekolah masih perlu dibaiki. Itu bukan pembangunan yang adil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Menora, Kampung Guar Petai di sini pada Jumaat.

**media[3514441]**

Jelasnya, Program Kampung Angkat Madani merupakan program yang akan memberi kesan kepada rakyat dengan melibatkan semua agensi dan kementerian.

"Program ini bukan program suka-suka. Ini bukan program letak papan tanda, ambil gambar, kemudian semua balik dan habis cerita. Tidak. Program ini mesti memberi kesan kepada rakyat.

"Kalau jalan rosak, kita tengok. Kalau kemudahan awam perlu dibaiki, kita usahakan. Kalau komuniti perlu dibantu, kita bantu. Kalau anak muda perlukan latihan, kita buka peluang. Kalau kampung ada potensi pertanian, kita gerakkan.

"Sebab itu pendekatan Kerajaan Madani ialah 'whole of government'. Maksudnya, bukan satu kementerian sahaja bekerja. Semua kementerian, jabatan, agensi dan pemimpin tempatan mesti turun bersama," katanya.

Mohamad berkata, KPKM turut menyediakan tambahan RM100,000 bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian.

“Zaman sekarang pertanian bukan lagi sekadar cangkul dan parang. Pertanian hari ini ada teknologi, dron, fertigasi, automasi, benih berkualiti dan pemasaran digital.

“Dulu orang kata belajar rajin-rajin jangan jadi petani. Hari ini kita kena ubah ayat itu kepada belajar rajin-rajin dan jadilah petani moden yang berjaya,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan negara perlu dirasai secara adil oleh rakyat luar bandar khususnya golongan petani, pesawah, nelayan, penternak dan pekebun kecil yang menjadi tulang belakang keterjaminan makanan negara.

Katanya, Program Kampung Angkat Madani bukan sekadar program simbolik sebaliknya pendekatan menyeluruh kerajaan menerusi konsep ‘whole of government’ yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi demi manfaat rakyat.

**media[3514427]**

Dalam pada itu, beliau berkata, SK Padang Menora turut menerima peruntukan RM100,000 di bawah inisiatif Sekolah Angkat Madani bagi meningkatkan kemudahan dan pembangunan pendidikan sekolah berkenaan.

Mohamad menambah, peruntukan tersebut melibatkan pembekalan kemudahan infrastruktur pejabat dan bilik guru termasuk sebuah penyaman udara 2.5 kuasa kuda (HP), empat unit penyaman udara 1.5 HP, sebuah komputer 'desktop' dan sebuah mesin pencetak Canon.

“Bagi kemudahan kelas, dewan dan tandas pula, kerja membaik pulih tandas murid tersumbat akan dilaksanakan selain pembekalan 16 unit kipas siling, empat unit tebar layar dewan dan penggantian tujuh pintu tandas murid.

“Turut dilaksanakan ialah penggantian pintu kayu jenis solid wood untuk tiga kelas Tahun Tiga, tiga kelas Tahun Empat, bilik muzik dan Bilik J-Qaf,” katanya.

Beliau berkata, bagi akses pendidikan pula, sekolah tersebut akan menerima kelengkapan Studio Digital termasuk sebuah 'smart board' dan peralatan tambahan selain 20 unit televisyen pintar untuk kegunaan di dalam kelas.

"Transformasi persekitaran sekolah turut melibatkan pembekalan dan pemasangan paparan jenis diod pemancar cahaya (LED) berserta papan tanda sekolah," ujarnya.

Dalam majlis sama, Agrobank turut menyampaikan zakat berjumlah RM20,000 melibatkan 100 penerima komuniti asnaf Padang Menora.

Program itu turut dimeriahkan dengan kenduri rakyat dan penganjuran Jualan Agro Madani yang disertai 50 usahawan melibatkan agensi di bawah KPKM seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus kepada pengunjung.

**media[3514434]**

Sementara itu, penduduk Kampung Guar Petai, Ishak Abdullah, 67 berkata, dia mengetahui mengenai program tersebut menerusi hebahan di aplikasi WhatsApp selain dimaklumkan oleh rakan-rakan sekampung.

Menurutnya, program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi manfaat terutama kepada penduduk kampung.

“Kalau program macam ini selalu diadakan memang bagus. Sekurang-kurangnya dapat kurangkan sedikit perbelanjaan penduduk kerana harga barang sekarang semakin mahal.

“Kalau dapat beli pada harga lebih murah, memang membantu orang kampung,” katanya.

**media[3514436]**

Surirumah, Hashimah Awang, 57 berkata, dia berharap program sedemikian dapat dilaksanakan dengan lebih kerap pada masa akan datang.

Dalam pada itu, dia turut menyambut baik cadangan menjadikan Kampung Petai sebagai Kampung Angkat Madani.

"Inisiatif tersebut dilihat mampu membawa pembangunan dan manfaat kepada penduduk setempat termasuk dalam aspek keterjaminan makanan dan kebajikan komuniti," katanya.

**media[3514437]**

Pegawai perhubungan awam, Muhamad Farith Muhamad Fauzi, 41, pula berkata, dia amat bersyukur kerana peruntukkan di bawah Program Kampung Madani turut melibatkan TVET.

Menurutnya, bantuan itu dijangka memberi impak positif kepada pelajar.

“Saya amat bersyukur dengan peruntukan RM100,000 yang diterima. Banyak manfaat yang akan dapat dinikmati oleh pelajar-pelajar di sini,” katanya.