Harga besi catat peningkatan 0.2% hingga 1.8% pada Disember 2023 - DOSM

12 Jan 2024 • 12:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga besi catat peningkatan 0.2% hingga 1.8% pada Disember 2023 - DOSM

zulfadli

12/01/2024 - 12:51

KUALA LUMPUR 12 Jan - Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan antara 0.2% hingga 1.8% bagi kebanyakan kawasan pada Disember 2023 berbanding bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi harga seunit besi adalah di Perak (1.8%), diikuti Johor (1.1%) dan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2%).

Beliau berkata, perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi bahan binaan utama seperti batu baur, pasir dan papan lapis bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Katanya, indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.1%), Kota Kinabalu (-0.2%) dan Miri (-2%).

"Peningkatan kecil dalam indeks harga bahan ini di kawasan Perak dan Kuching iaitu masing-masing 0.1%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

image is not available

Menurut Mohd Uzir, perbandingan bulanan pada Disember 2023 turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi beberapa kawasan iaitu di Johor (1.6%), diikuti Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan iaitu masing-masing 0.6%.

Katanya, perbandingan tahunan untuk tempoh Disember 2022 dan Disember 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 2.8% hingga 18.9% bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen telah dicatatkan bagi Terengganu dan Kelantan (18.9%), diikuti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (17.4%).

"Indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 4.6 peratus bagi Disember 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

"Namun begitu, terdapat penurunan indeks harga seunit besi dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.4%), Tawau (-3.1%) dan Miri (-3.0%)," katanya.

Mohd Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'Mycon 60 high tensile deformed bars' adalah RM3,629.77 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan kecil iaitu 0.2% berbanding bulan sebelumnya (November 2023: RM3,621.24 per tan metrik).

Beliau berkata, purata harga simen (Ordinary Portland) juga mencatatkan peningkatan kecil iaitu 0.2% dengan purata harga RM23.00 per 50 kilogram (kg) sekarang berbanding November 2023 (RM22.94 per 50 kg sekarung).

Selain itu katanya, perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan pada Disember 2023 mencatatkan peningkatan antara 0.2% hingga 2.4 % bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.

"Namun begitu, terdapat sedikit penurunan bagi IKB (termasuk bar keluli) antara negatif 0.1%hingga negatif 0.5% dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan," katanya.

Katanya, IKB (termasuk bar keluli) di Sabah pula menunjukkan peningkatan di antara 0.1% hingga 1.7% bagi hampir semua kategori bangunan di Sandakan dan Tawau pada Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya, manakala, indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu mencatatkan penurunan negatif 0.1%.

Tambah beliau, perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada Disember 2023 menunjukkan peningkatan kecil dalam indeks iaitu 0.15 bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching.

"Manakala indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Miri mencatatkan penurunan indeks antara negatif 0.2% hingga negatif 0.7% bagi semua kategori bangunan pada Disember 2023 berbanding November 2023," katanya. - DagangNews.com