Harga Diesel Di Semenanjung & RON97 Naik

LocalBusiness & Finance
15 Jan 2025 • 5:37 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Harga Diesel Di Semenanjung & RON97 Naik

Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan peningkatan harga runcit bagi petrol RON97 dan diesel di Semenanjung bermula 16 Januari hingga 22 Januari 2025.

Menerusi kenyataan tersebut, harga runcit petrol RON97 ditetapkan naik sebanyak 5 sen seliter iaitu daripada RM3.33 seliter kepada RM3.38 seliter.

Manakala diesel di Semenanjung juga naik 5 sen seliter iaitu daripada RM3.03 seliter kepada RM3.08 seliter.

Bagaimanapun, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.

Begitu juga dengan RON95 yang kekal RM2.05 seliter.

“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” kata Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian itu lagi, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan ini menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” maklum kementerian tersebut.

Terdahulu, Bernama melaporkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan rasionalisasi subsidi diesel yang telah dilaksanakan pada tahun lalu dijangka memberi penjimatan tahunan kepada kerajaan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion.

“Apabila kerajaan melancarkan (rasionalisasi subsidi diesel) pada Julai 2024, kita menjangka memperoleh penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun.

“Ketika ini kita kesan kira-kira RM600 juta sebulan, jadi itu sepatutnya memberi kita penjimatan kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun.

“Kita dapat melakukannya lebih baik kerana ketirisan (diesel) adalah lebih daripada apa yang kita sangka. Itu hanya di Semenanjung Malaysia pada ketika ini,” ujarnya pada Khamis lalu.

Tambahnya lagi, asas utama yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel merupakan perkara utama yang menjadi keutamaan untuk ditangan kerajaan.

“Kita tahu bahawa daripada ketirisan itu, kita akan memasuki dua segmen utama pertama, daripada sektor runcit hingga sektor komersial. Kedua, kita juga mengalami ketirisan besar yang melibatkan pergerakan merentas sempadan.

“Kita dapat melancarkannya kerana kita melaksanakan sistem yang sebenarnya mengurangkan risiko dari segi ketirisan. Kita capai hasil yang lebih baik kerana kita dapat mengurangkan ketirisan rentas sempadan,” maklumnya.