SHAH ALAM - Kerajaan diminta lebih peka terhadap tekanan dihadapi rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga diesel diumumkan kerajaan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, harga diesel dilaporkan meningkat daripada RM3.92 kepada RM4.72 dan seterusnya RM5.52 dengan setiap kenaikan berlaku kepada kadar sama iaitu RM0.80.
Menurut beliau, situasi itu menimbulkan tanda tanya sama ada kenaikan tersebut berasaskan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) seperti diumumkan sebelum ini.
"Setiap kali naik 80 sen, tidak lebih dan tidak kurang. Biar betul ini secara kebetulan atau memang hasil perhitungan mengikut formula APM yang diumumkan sebelum ini.
"Kalau dikira mengikut formula APM, tidak mungkin dapat angka dibulatkan kepada 80 sen sahaja. Adakah formula ini telah diubah atau ditambah dengan komponen cukai yang kita tidak sedar.
"Kerajan perlu beri pencerahan," katanya menerusi video di Facebook pada Khamis.
Ka Siong berkata, kenaikan harga diesel secara mendadak tidak wajar berlaku kerana ia memberi kesan berlapis kepada ekonomi dan rakyat.
Kata beliau, peningkatan harga bahan api itu akan terus meningkatkan kos operasi pelbagai sektor termasuk pertanian, perikanan serta penggunaan jentera ladang dan logistik.
"Masalah diesel ini memberi tekanan kepada beberapa lapisan kos yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.
"Apabila harga diesel naik, kos pengangkutan meningkat, kos operasi meningkat dan akhirnya harga barang turut naik. Inilah tekanan inflasi," katanya lagi.
Tambah beliau, peniaga juga tidak mampu menyerap keseluruhan peningkatan kos tersebut, sekali gus menyebabkan beban itu dipindahkan kepada pengguna.
"Apabila harga sudah naik, bukan mudah hendak turun semula.
"Justeru itu, kenaikan harga diesel tidak boleh secara mendadak dan gopoh," ujarnya.
Dalam pada itu, Ka Siong menyarankan kerajaan menggunakan kekuatan kewangan negara untuk mengurangkan tekanan kos terhadap rakyat ketika berlaku kenaikan harga global.
"Apabila harga global meningkat, kita lihat negara jiran mengambil langkah melindungi rakyat daripada kejutan harga, bukan memindahkannya terus kepada pengguna.
"Yang kedua, jika pelarasan harga diesel perlu dilaksanakan, ia hendaklah dibuat secara berperingkat dan berhemah.
"Naik sedikit demi sedikit supaya pasaran boleh sesuaikan diri, peniaga juga boleh rancang dan rakyat ada ruang untuk bernafas," katanya.
Beliau juga meminta kerajaan lebih prihatin dalam membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan penambahan beban sedia ada oleh rakyat.
