KUANTAN - Pengusaha bot nelayan laut dalam kategori zon C2 Pantai Timur mendakwa makin terhimpit dengan kenaikan harga diesel yang mendadak kesan krisis di Asia Barat ketika ini.
Mengambil kira harga semasa bahan api itu yang lebih RM7, mereka tidak mampu lagi untuk menampung kos operasi yang terlalu tinggi mencecah lebih RM100,000 setiap bulan.
Wakil pengusaha, Zarir Yaakob mendakwa, berdasarkan situasi harga diesel semasa selain kenaikan kos-kos operasi lain, kebanyakan pengusaha hanya mampu bertahan sehingga hujung bulan ini.
Menurutnya, sekiranya masalah dihadapi golongan itu tidak diberi perhatian segera, dijangka hampir separuh daripada 450 bot laut dalam kategori C2 di Pantai Timur termasuk Endau, Johor terpaksa menyerah kalah.
"Selain diesel, kami juga perlu sediakan kos untuk ais kira-kira RM4,000 setiap kali turun ke laut, makanan minum pekerja, peralatan dan penyelenggaraan bot yang semain tinggi.
"Justeru kami merayu kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberi perhatian segera kepada masalah yang dihadapi pengusaha bot nelayan C2 ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi penyerahan memorandum mendesak intervensi kerajaan demi kelangsungan sekuriti makanan negara berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting di sini pada Khamis.
Memorandum melalui Persatuan Pusat Perusahaan-Perusahaan Ikan Malaysia itu diserahkan kepada Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang.
Zarir berkata, pihaknya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penyelarasan subsidi diesel pada harga RM2.50 seliter demi kelangsungan operasi bot-bot nelayan kelas itu.
"Itulah harapan kami yang selama ini berjuang memastikan bekalan ikan untuk rakyat berterusan. Sekiranya operasi kami terganggu, kemungkinan harga ikan di pasaran juga melonjak dan membebankan pengguna," katanya.
Wakil pengusaha bot C2 dari Pahang, Tengku Adnan Tengku Husin, 64 mengakui kesan kenaikan harga diesel telah menjejaskan beberapa pengusaha di Pahang termasuk dia sendiri ekoran kenaikan kos bahan api.
Menurutnya, pengusaha bot C2 paling terkesan memandangkan mereka tidak menikmati Skim Kawalan Diesel Bersubsidi seperti nelayan Zon A, B dan C yang menerima subsidi pada kadar RM1.65 seliter.
"Kenaikan harga bahan api ketika ini telah meningkatkan kos operasi penangkapan hasil laut, sekali gus memberi tekanan kepada kami.
“Golongan nelayan Zon C2 beli diesel pada harga industri, iaitu lebih RM7 seliter ketika ini sedangkan harga ikan yang didaratkan sama dengan nelayan zon lain, kami tidak boleh naikkan harga sesuka hati," kata penerima Anugerah Nelayan Jaya Kebangsaan sebanyak dua kali ini.
Sementara itu, Chon Siang berkata, memorandum diserahkan pengusaha bot itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri secepat mungkin.
"Tadi saya telah mendengar sendiri masalah dihadapi mereka dan berharap isu ini diberi perhatian segera pihak kerajaan.
"Mereka tidak mendapat subsidi bahan api seperti nelayan lain justeru kerajaan perlu mempertimbangkan bantuan sewajarnya termasuk mencari formula terbaik bagi membantu mengurangkan kos operasi yang dihadapi mereka," katanya.
Berdasarkan butiran memorandum diserahkan itu, operasi vesel aktif di pangkalan utama di Endau, Kuantan dan Tok Bali mencatat purata tangkapan 500 tan dengan jumlah pendaratan dianggarkan sekitar RM480 juta.
Setiap vesel menggunakan sekitar 30,000 liter diesel dengan anggaran kos lebih RM100,000 sebulan bagi setiap vesel, yang menyumbang 40-60 peratus daripada keseluruhan kos operasi.
Kos diesel adalah faktor tekanan utama yang memberi kesan langsung kepada operasi vesel dan kapasiti pendaratan ikan ke pasaran tempatan.
Sekiranya masalah berterusan, 30 hingga 50 peratus vesel berisiko menghentikan operasi mengakibatkan pengurangan bekalan ikan rakyat antara 24,000 hingga 40,000 tan setahun, dengan anggaran kerugian ekonomi sekitar RM144 juta hingga RM240 juta setahun
Memorandum itu justeru mendesak penyelarasan subsidi diesel bagi vesel Zon C2 dan pengecualian atau mekanisme alternatif caruman bagi buruh asing
Sebagai langkah alternatif sekiranya subsidi diesel tidak dapat disediakan, dicadangkan pelaksanaan insentif pendaratan ikan berasaskan jumlah pendaratan sebenar yang lebih cekap dari sudut fiskal kerana bantuan kerajaan disalurkan berdasarkan hasil.

