KOTA BHARU – "PMX, bantu kami. Kami mahu subsidi diesel."
Demikian laungan 50 ahli Persatuan Bas Pantai Timur (PEBAT) yang hadir pada perhimpunan aman di Pengkalan Chepa di sini pada Isnin yang ingin merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu mereka mendapatkan subsidi diesel susulan kenaikan harga bahan bakar yang didakwa semakin menekan operasi syarikat.
Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Pantai Timur (PEBAT), Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata, lebih 5,000 pekerja melibatkan 1,000 penguasaha bas persiaran di Pantai Timur bakal gulung tikar jika tiada tindakan segera daripada kerajaan.
"Kenaikan harga diesel yang mencecah sekitar RM6.02 seliter ketika ini menyebabkan banyak syarikat berdepan risiko kerugian serius apabila kami tidak lagi mampu menampung kos operasi yang semakin meningkat.
**media[3483208]**
"Pelanggan mula membatalkan tempahan susulan kenaikan harga perkhidmatan sekitar 30 hingga 40 peratus dimana jika sebelum ini pergi balik ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu hanya dikenakan bayaran RM3,000 satu trip namun sekarang ia hampir mencecah RM5,000," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau ini kerana untuk sekali isian diesel bagi sebuah bas persiaran kini mencecah sehingga RM1,600 berbanding sebelum ini hanya sekitar RM700 hingga RM800 sahaja dan ia belum lagi melibatkan upah pemandu seramai dua orang.
Ujarnya, apabila mereka terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos diesel, pelanggan terus membatalkan tempahan.
Wan Mohd Nuhairi memberitahu, sektor bas persiaran di Pantai Timur amat bergantung kepada tempahan sekolah, institusi pengajian dan masyarakat tempatan, berbeza dengan syarikat di bandar besar yang menerima pelancong asing secara konsisten.
**media[3483201]**
Tambahnya, terdapat tempoh tertentu dalam setahun seperti bulan Ramadan serta musim tengkujuh yang menyebabkan operasi hampir terhenti, sekali gus menjejaskan aliran pendapatan.
"Dalam setahun, hampir lima bulan kami tiada pendapatan apabila tidak menerima sebarang tempahan pada bulan Ramadan serta November dan Disember kerana musim tengkujuh.
"Manakala Januari dan Februari juga tidak menerima tempahan kerana bagi sektor sekolah belanjawan masih belum diluluksan pada waktu tersebut," katanya.
Tambah beliau, apabila harga diesel meningkat mendadak, mereka memang tidak mampu bertahan lama.
Beliau turut mendedahkan, berdasarkan pengalaman ketika pandemik Covid-19, separuh daripada pengusaha terpaksa menutup operasi dan situasi sama dijangka berulang jika tiada tindakan segera diambil.
"Kami anggarkan syarikat hanya mampu bertahan sekitar dua bulan sahaja dalam keadaan sekarang.
"Jika tiada subsidi atau penyelesaian, kami jangka lebih ramai pengusaha akan gulung tikar dan pekerja kehilangan sumber pendapatan," katanya.
Menurut Wan Mohd Nuhairi, permohonan mendapatkan subsidi telah dihantar kepada kerajaan termasuk Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kewangan kira-kira dua minggu lalu, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi diesel pada kadar munasabah bagi memastikan kelangsungan industri tersebut.
"Kami bersedia berbincang dan menerima apa juga syarat yang ditetapkan kerajaan, asalkan bantuan dapat diberikan demi kelangsungan industri dan kebajikan pekerja.
"Pada peringkat awal kami berharap jika kerajaan sudi memberikan subsidi diesel pada harga RM1.88 namun jika dinaikkan kepada RM2.15 pun kami terima," katanya.


