hamden27/05/2026 - 17:25 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Mei – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 10 sen kepada RM4.87 seliter bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun 2026, menurut Kementerian Kewangan.
Kementerian tersebut menambah, penetapan harga itu selaras dengan pelaksanaan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), berikutan situasi harga minyak mentah di pasaran global.
Selain diesel, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi turut turun 15 sen kepada RM3.92 seliter, manakala RON97 turun 20 sen kepada RM4.65 seliter,” kata kementerian.

Kerajaan menjelaskan harga bahan api masih kekal tinggi berbanding paras sebelum gangguan geopolitik di Timur Tengah, apabila minyak mentah kini berada sekitar AS$100 setong berbanding AS$70 sebelum konflik.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan peningkatan kos logistik dan insurans susulan risiko gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada harga minyak global.
"Dalam keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu memanjangkan bekalan negara," kata kenyataan itu. - DagangNews.com





