Harga emas tinggi ubah strategi pemilikan masyarakat

Business & Finance
22 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga emas tinggi ubah strategi pemilikan masyarakat

PETALING JAYA: Lonjakan harga emas ketika ini bukan sekadar meningkatkan nilai aset pemilik, malah mendorong perubahan dalam keputusan kewangan masyarakat sama ada untuk menjual, menyimpan atau menambah pegangan emas.

Pengerusi Koperasi Dagang Emas Malaysia Bhd., Datuk Abdul Wahab Hamid berkata, kenaikan harga memberi peluang kepada sebahagian pemilik untuk menukar pegangan emas kepada tunai, khususnya apabila mereka mempunyai keperluan kewangan atau mahu mengunci keuntungan.

“Pada masa sama, terdapat pelabur yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh terus membeli emas meskipun harganya tinggi kerana melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang.

“Corak pemilik emas berbeza-beza. Ada yang menjual apabila memerlukan tunai, ada pelabur jangka pendek yang mengambil keuntungan apabila harga meningkat, manakala pelabur jangka panjang pula cenderung mengekalkan simpanan dan menambah pegangan apabila berlaku penurunan harga.

“Bagi mereka, turun naik harga dalam jangka pendek tidak semestinya mengubah matlamat memiliki emas untuk tempoh panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Wahab, fenomena itu menunjukkan kenaikan harga emas tidak menghasilkan tindak balas seragam dalam pasaran. 

“Sebaliknya, keputusan pemilik banyak bergantung kepada tujuan asal pembelian serta kedudukan kewangan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata, perubahan cita rasa pengguna turut memainkan peranan dalam merancakkan aktiviti jual beli emas.

Katanya, pemilik barang kemas lama kini mempunyai pilihan untuk menjual pegangan sedia ada sebelum menukarnya kepada barang kemas baharu yang lebih menepati cita rasa dan trend semasa.

“Selain faktor fesyen, keadaan fizikal barang kemas turut mempengaruhi keputusan pemilik untuk menjualnya, terutama apabila barang kemas mengalami kerosakan atau tidak lagi digunakan.

“Selain itu, barang kemas yang rosak turut dijual untuk mendapatkan tunai, manakala individu yang mempunyai lebihan kewangan pula lebih cenderung membeli jongkong emas sebagai aset simpanan.

“Golongan berkemampuan bukan sahaja membeli barang kemas, malah semakin melihat jongkong emas sebagai satu bentuk pelaburan,” katanya.

Pada masa sama, trend pembelian emas dalam kuantiti kecil memperlihatkan perubahan pendekatan dalam kalangan isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah.

“Dalam masa sama, masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah juga mempunyai kecenderungan membeli emas dalam saiz kecil seperti wafer secara berperingkat, mengikut kemampuan selepas menerima pendapatan bulanan,” katanya. – UTUSAN

The post Harga emas tinggi ubah strategi pemilikan masyarakat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved