Harga jimat, bekalan segar! Karnival Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Kekal Putrajaya kembali

LocalFood
6 Feb 2026 • 8:52 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Karnival Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Kekal Putrajaya kembali berlangsung selama tiga hari bermula 6 Februari dengan sasaran seramai 25,000 pengunjung. Acara ini menyediakan pelbagai jualan produk agro, aktiviti komuniti serta inisiatif penjimatan rakyat di bawah satu platform bersepadu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Chan Foong Hin berkata, Karnival Jualan Agro Madani adalah bukti nyata komitmen kerajaan Madani dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan memperkukuh ekonomi usahawan.

image is not available

Tambahnya, penganjuran program itu bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, malah memberi peluang kepada usahawan tani memasarkan produk secara terus kepada pengguna.

Karnival Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Kekal Putrajaya kembali

image is not available

Karnival berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI iaitu penjenamaan semula program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang dilaksanakan oleh KPMKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama agensi di bawahnya termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

image is not available

Program itu bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran melalui konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna.

Pelbagai tawaran istimewa disediakan kepada pengunjung termasuk Kombo Madani dan Jualan Happy Hour, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan bekalan segar, berkualiti dan mampu milik di lokasi yang mudah diakses.

image is not available

image is not available

Selain jualan produk agro, karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga seperti jualan buah-buahan, florikultur dan produk industri asas tani, demonstrasi masakan, persembahan artis tempatan serta aktiviti interaktif untuk kanak-kanak.

image is not available

Pemilihan Pasar Tani Kekal Putrajaya sebagai lokasi penganjuran jelasnya, merupakan langkah strategik bagi merancakkan fungsi pasar tani kekal sebagai hab pemasaran agro setempat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranannya dalam rantaian bekalan makanan negara.

Artikel lain: Jualan Agro MADANI kini di seluruh Malaysia!

FAMA menerusi KPKM akan terus memperluas pelaksanaan Karnival Jualan Agro MADANI ke seluruh negara sebagai langkah proaktif menstabilkan harga barangan makanan, memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan pendapatan pengeluar.

Majlis perasmian karnival disempurnakan di Pasar Tani Kekal Putrajaya. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Haji Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Presiden Perbadanan Putrajaya; YBrs. Tuan Haji Aminuddin bin Zulkipli, Pengerusi FAMA; dan YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA.