Harga jualan murah, kos pengeluaran semakin tinggi tekan prestasi MSM pada 1QFY26 dengan kerugian RM13 juta

LocalBusiness & Finance
26 May 2026 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga jualan murah, kos pengeluaran semakin tinggi tekan prestasi MSM pada 1QFY26 dengan kerugian RM13 juta Image from: Harga jualan murah, kos pengeluaran semakin tinggi tekan prestasi MSM pada 1QFY26 dengan kerugian RM13 juta liza26/05/2026 - 17:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Mei – MSM Malaysia Holdings Berhad, pengeluar gula bertapis utama negara di bawah jenama “Gula Prai” mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM13 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), berbanding keuntungan sebelum cukai RM8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi lebih lemah itu berlaku ketika kumpulan berdepan tekanan margin yang berterusan dalam industri gula domestik.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MSM berkata hasil kumpulan turut susut kepada RM552.8 juta, merosot RM196.9 juta atau 26.3% berbanding RM749.7 juta pada 1QFY2025.

 

“Penurunan hasil tersebut dipengaruhi oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah serta pengurangan jumlah jualan dalam pasaran.

 

“Keadaan pasaran turut dipengaruhi persaingan daripada gula import yang memberi tekanan kepada harga domestik,” kata MSM dalam makluman itu.

 

Dari segi kos, MSM berkata kos pengeluaran menurun sekitar 7% tahun ke tahun, disokong oleh harga (NY11) yang lebih rendah, kadar pertukaran asing yang lebih stabil serta penurunan kos pengangkutan.

 

NY11 merujuk kepada harga gula mentah global di pasaran New York yang menjadi penanda aras utama perdagangan gula dunia.

 

Walaupun kos pengeluaran menurun, MSM mencatat peningkatan 17% dalam kos penapisan disebabkan oleh kadar penggunaan kilang yang lebih rendah menyebabkan keuntungan terjejas walaupun terdapat penjimatan dalam beberapa komponen kos utama.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Dr. Aini Shahar berkata keputusan suku pertama itu mencerminkan tekanan berterusan terhadap margin akibat harga jualan lebih rendah, persaingan gula import serta permintaan yang lemah.

 

Beliau berkata MSM kini memberi tumpuan kepada pengukuhan disiplin margin, penyelarasan pengeluaran mengikut permintaan serta pengoptimuman kos di seluruh operasi kumpulan.

 

“MSM kini memberi fokus kepada usaha melindungi aliran tunai, memperbaiki disiplin operasi serta memulihkan keuntungan melalui kawalan komersial yang lebih ketat, mengoptimumkan pengeluaran dan peruntukan modal yang lebih berdisiplin.

 

“Ketidaktentuan geopolitik boleh terus memberi kesan kepada harga komoditi, kos pengangkutan serta kadar pertukaran asing.

 

“MSM akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memuktamadkan rangka kerja penetapan harga yang mampan untuk menyokong keselamatan makanan negara dan kelangsungan industri gula tempatan,” katanya.

 

Sejak ditubuhkan pada 1964, MSM memainkan peranan penting dalam industri gula Malaysia dan kini berada dalam kalangan 10 penapis gula terbesar di dunia, dengan fokus terhadap kecekapan operasi, kelestarian serta pengukuhan daya tahan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard