Harga kediaman diunjur meningkat 9.95%, kadar sewa naik 9.57% pada 2024 - Juwai IQI
azan
05/12/2023 - 14:53
KUALA LUMPUR 5 Dis - Juwai IQI mengunjurkan harga kediaman naik 9.95% dan kadar sewa meningkat sebanyak 9.57% dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, berdasarkan Tinjauan dan Indeks Harta IQI – Malaysia 4Q 2023, khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor, industri menjangkakan kenaikan harga kediaman sebanyak 9.7% dan sewa sebanyak 9.9%.
Katanya, hanya 5% daripada panel penyelidikan seluruh Malaysia menjangkakan harga akan turun dan hanya 3% menjangkakan sewa akan turun.
Beliau berkata, jangkaan meluas bahawa harga dan sewa akan meningkat menandakan potensi peningkatan modal serta pertumbuhan sewa dan ia boleh menggalakkan pelabur dan penyewa untuk kembali ke pasaran serta pemaju melancarkan projek baharu
"Nisbah beli-sewa mendedahkan keyakinan kukuh dalam pasaran hartanah, dengan 91.1% mengatakan mereka akan menasihati rakan untuk membeli kediaman ketika ini, manakala hanya 8.9% menasihati untuk menyewa.

"Jumlahnya hampir sama di Kuala Lumpur dan Selangor seperti di seluruh negara, dengan 88.8% untuk membeli berbanding 11.2% untuk menyewa.
"Kemungkinan ejen mengesyorkan untuk pembelian kerana mereka menjangkakan peningkatan ketara dalam kedua-dua harga jualan dan sewa pada 2024. Keyakinan ini berdasarkan jangkaan arah aliran ekonomi, aliran masuk pelaburan, penambahbaikan infrastruktur dan dinamik permintaan dan bekalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kashif berkata, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan bahawa peningkatan dalam jumlah urus niaga adalah untuk hartanah berharga sederhana dan mampu milik dengan 51% peratus pembelian bernilai antara RM100,000 dan RM500,000.
Beliau berkata, ejen dalam panel penyelidikan mereka sentiasa memerhatikan faktor ekonomi yang lebih luas dan gangguan global yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan perdagangan Malaysia.
"Lebih separuh (56%) responden menjangkakan ekonomi yang lebih teguh dalam tempoh 12 bulan akan datang, manakala hanya satu pertiga (33.5%) menjangkakan ekonomi akan melemah. Pandangan yang paling umum ialah ekonomi akan menjadi "agak kukuh" (35%), diikuti oleh "agak lemah" (25%).
“Kami percaya laporan ini merupakan penyelidikan komprehensif pertama mengenai sikap industri terhadap pasaran hartanah dan ekonomi pada 2024. Ia seharusnya memberikan pandangan yang berharga kepada pemaju, pengguna dan pembuat dasar," katanya. - DagangNews.com

