Harga koko dunia naik mendadak 34% dalam tempoh kurang sebulan - AmInvestment
herman
27/08/2024 - 12:57
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Harga koko telah naik mendadak sebanyak 34% daripada AS$7,500 satu tan pada 3 Ogos 2024 kepada hampir AS$10,000/tan pada masa ini, kata AmInvestment Bank Research.
Menurut firma penyelidikan itu, ini disebabkan oleh kebimbangan berterusan mengenai bekalan yang terhad akibat cuaca kering di negara-negara pengeluar utama di Afrika Barat yang boleh menjejaskan pengeluaran koko global.
"Walau bagaimanapun, harga koko telah menyederhana daripada paras tertinggi sepanjang zaman iaitu AS$12,000/tan pada pertengahan April tahun ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Malangkah ke depan, AmInvestment berhati-hati terhadap prospek Guan Chong Berhad kerana harga biji koko yang tinggi boleh mempengaruhi permintaan akhir.
Kata firma penyelidikan itu, kesesakan pelabuhan yang berpanjangan juga akan menyebabkan keperluan modal kerja yang lebih tinggi bagi kumpulan berkenaan.
"Walau bagaimanapun, kami menyukai strategi kumpulan untuk berkembang ke pasaran coklat industri dengan margin yang lebih tinggi dan meningkatkan kecekapan pengeluaran keseluruhan," jelasnya.
Sementara itu, AmInvestment berkata, walaupun Guan Chong melaporkan pendapatan yang kukuh untuk 1HFY24, pihaknya berhati-hati kepada kumpulan tersebut disebabkan oleh aliran tunai operasi negatif yang membengkak sebanyak RM1.1 bilion untuk 1HFY24.
Kata firma itu, ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan inventori dan penghutang dagangan berikutan kesesakan pelabuhan pada masa ini.
"Ini dibiayai oleh lonjakan mendadak dalam pinjaman jangka pendek dan hutang yang berjumlah RM2.7 bilion pada 30 Jun 2024 berbanding RM1.5 bilion pada akhir 4QFY23.
"Dengan lonjakan besar dalam beban hutang, nisbah hutang bersih kumpulan meningkat kepada 1.7x pada 30 Jun 2024 daripada 1.2x pada akhir 4QFY23," ujarnya.
AmInvestment dalam pada itu menurunkan saranan terhadap Guan Chong kepada 'Pegang' daripada 'Beli' sebelum ini dengan nilai wajar yang lebih rendah iaitu RM3.57 sesaham, daripada RM4.67 sesaham sebelum ini.
"Pendapatan 1HFY24 sebanyak RM159 juta adalah di bawah jangkaan iaitu 37% daripada ramalan penuh tahun kami dan 45% daripada konsensus, disebabkan oleh margin yang lebih rendah daripada jangkaan. Oleh itu, kami mengurangkan pendapatan FY24F/FY25F/FY26F sebanyak 27.7%/22.9%/14.2%," ujarnya. - DagangNews.com



