Penampilan sulung EPB Group di Pasaran ACE catat 65 sen, naik 16.07%
herman
23/08/2024 - 10:59
KUALA LUMPUR 23 Ogos - Saham EPB Group Bhd membuat penampilang sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 65 sen, atau 16.07% lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) pada 56 sen seunit.
Sebaik sahaja dibuka pagi ini, pembekal rumusan jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan sehenti itu menyaksikan 50 juta saham tersebut bertukar tangan.
Saham EPB Group didagangkan pada harga 61 sen seunit pada 9.52 pagi, meningkat lima sen daripada harga IPO setelah mencecah paras tertinggi 68 sen.
Kaunter berkenaan juga paling banyak didagangkan di Bursa Malaysia pagi ini.
IPO EPB Group bagi orang awam Malaysia terlebih langgan sebanyak 61.08 kali.
Daripada RM40.08 juta yang diperoleh daripada terbitan saham baharu itu, RM24.6 juta akan digunakan untuk pembesaran kilang.
Sebanyak RM10.5 juta lagi untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM8.48 juta untuk modal kerja, dan baki RM4 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Fasiliti baharu di Pulau Pinang itu akan mempunyai keluasan 70,000 kaki persegi, membolehkan syarikat itu mempunyai lebih banyak ruang untuk pengembangan masa depan kerana kawasan tanahnya seluas 2.83 hektar.
Syarikat juga merancang untuk memanfaatkan gelombang Revolusi Industri 4.0 dan meningkatkan integrasi teknologi robotik dengan penyelesaian mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan mereka.- DagangNews.com



