Harga Lebih Banyak Komponen Komputer Akan Meningkat Tidak Lama Lagi

Technology
18 Aug 2026 • 1:10 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Harga Lebih Banyak Komponen Komputer Akan  Meningkat Tidak Lama Lagi

Jika dalam setahun ini kita telah memperlihatkan kenaikan harga komponen memori dan storan secara mendadak yang dijangka tidak akan turun sehingga dua atau tiga tahun lagi, kini pihak industri mengatakan bahawa terdapat dua lagi segmen komponen komputer yang akan mencatatkan kenaikan harga tidak lama lagi.

Pertama ialah segmen kad grafik. PC Partner Group, yang merupakan syarikat induk kepada jenama-jenama komponen seperti ZOTAC, Inno3D dan Manli telah mengatakan bahawa tidak lama lagi, komponen kad grafik mampu-milik seperti NVIDIA GeForce RTX 5060 dan sebagainya akan memperlihatkan kenaikan harga yang agak ketara.

Image from: Harga Lebih Banyak Komponen Komputer Akan  Meningkat Tidak Lama Lagi

Tidak mengejutkan, perkara ini berlaku kerana bekalan cip memori yang semakin berkurangan untuk komponen-komponen komputer pengguna. Memori GDDR6 dan GDDR7 telah habis disapu untuk menguasakan perkakasan AI dan pusat data kerana syarikat-syarikat tersebut sanggup membayar harga tidak masuk akal untuk memastikan bekalan mereka tidak terputus untuk beberapa tahun akan datang.

Kami juga telah melaporkan bahawa syarikat-syarikat seperti SK Hynix, Samsung dan Micron sudahpun habis menjual kapasiti pengeluaran cip memori DRAM mereka untuk tahun 2027, manakala CXMT kini berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi permintaan banyak syarikat-syarikat teknologi, dengan percubaan Apple untuk cuba mendapatkan memori pada harga lebih murah daripada mereka gagal.

Satu lagi segmen yang akan memperlihatkan kenaikan harga ialah paparan skrin. KTC, syarikat pengeluar paparan OEM yang dikenali untuk membekalkan panel skrin kepada pelbagai jenama pengeluar komputer dan perkakasan paparan skrin melaporkan bahawa mereka tidak lagi boleh menampung kenaikan harga komponen untuk paparan skrin, dan akan terpaksa menaikkan harga panel yang dihasilkan mereka tidak lama lagi.

Image from: Harga Lebih Banyak Komponen Komputer Akan  Meningkat Tidak Lama Lagi

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KTC, mereka mengatakan bahawa jika pengguna mahu membeli paparan skrin untuk komputer mereka, mereka harus melakukannya secepat mungkin kerana harga panel akan terpaksa dinaikkan dalam masa terdekat ini.

Tidak kira jika anda mahu membina komputer desktop atau membeli komputer riba untuk kegunaan sendiri, anak-anak mahupun tempat pekerjaan, nampaknya dunia tidak boleh lagi menghiraukan kenaikan harga komponen-komponen ini dan mengharapkan bahawa ia akan turun ke harga sebelum ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved