
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan UMNO didakwa akan ‘menikam belakang’ Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membidas kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai kemahuan parti itu untuk terus berada dalam Kerajaan Persekutuan hingga akhir penggal.
Beliau menyifatkan kemahuan UMNO untuk mengekalkan kestabilan sebagai hipokrasi selepas parti itu menjalin pakatan pilihan raya dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Negeri Sembilan.
“Itulah hipokrasi pemimpin UMNO, kalau mahu kestabilan kenapa pakat dengan PN di PRN Johor dan Negeri Sembilan? Bukan sedikit tetapi terlalu banyak serangan terhadap kerajaan pusat berlaku.
“Contoh, BN tidak ikhlas mempertahankan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH). Kemesraan di Kabinet hanya lakonan hollywood,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Semalam, media melaporkan, UMNO memilih untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal bagi memastikan pentadbiran negara kekal berfungsi dengan baik sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.
Ahmad berkata, ia bertepatan dengan kenyataan presiden bahawa parti berkenaan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Mohd Puad berkata, BN akan terus menikam belakang di PRN Melaka sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Satu sebab mereka tidak mahu ‘pull the plug’ kerana tanpa kuasa sukar melakukan tikaman belakang yang efektif.
“Lagi pun Ahmad Maslan sedar beberapa pemimpin UMNO adalah ‘vulnerable’ kepada tindakan mahkamah. Kerajaan pusat adalah imuniti untuk berlindung,” katanya. – UTUSAN
The post Puad dakwa BN, UMNO akan tikam belakang Kerajaan Perpaduan appeared first on Utusan Malaysia.






