hamden12/05/2026 - 18:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei - Harga makanan di Malaysia secara keseluruhan masih berada dalam keadaan terkawal, namun tekanan kos mula memberi kesan kepada sebahagian pengguna, khususnya di kawasan luar bandar, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata walaupun data menunjukkan pergerakan harga masih dalam julat stabil, kerajaan memantau rapat peningkatan kos sara hidup yang mula dirasai rakyat.
“Walaupun statistik menunjukkan pergerakan harga makanan masih terkawal, Perdana Menteri dan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menyatakan kebimbangan bahawa beberapa kumpulan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, mula merasai tekanan kenaikan harga barangan harian,” katanya dalam taklimat krisis bekalan global, hari ini.
Berdasarkan data 4 hingga 6 Mei, harga makanan terpilih mencatat pergerakan antara penurunan 2.0% hingga kenaikan 6.7% berbanding minggu sebelumnya.
Harga daging lembu mencatat penurunan 1.4% kepada RM35.88 sekilogram berbanding RM36.40 sebelum ini, manakala harga ayam standard kekal stabil sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram.
Namun begitu, beberapa barangan makanan menunjukkan peningkatan harga.
Antaranya, ikan kembung India naik 3.9% kepada RM17.42 sekilogram, udang putih meningkat 1.2% kepada RM32.11 sekilogram, sawi naik 4.0% kepada RM7.23 sekilogram, manakala santan segar mencatat kenaikan paling tinggi iaitu 6.7% kepada RM16.88 sekilogram.
Corak Perbelanjaan Berubah
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal berkata perubahan corak perbelanjaan dan mobiliti rakyat turut mula dikesan.
Purata penumpang harian pengangkutan rel pada April 2026 meningkat 7.6% kepada 1.08 juta orang, manakala penggunaan bas harian naik 10.3% kepada 227,448 penumpang berbanding bulan sebelumnya.
Sementara itu, penggunaan elektrik turut meningkat apabila purata permintaan maksimum bagi tempoh 4 hingga 10 Mei naik 1.4% kepada 20,097MW berbanding 19,815MW pada minggu sebelumnya.
“Perkembangan ini menunjukkan sebahagian rakyat mula menyesuaikan corak mobiliti dan perbelanjaan kepada pilihan yang lebih menjimatkan kos,” katanya.
Beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut bersetuju agar penyelarasan bantuan dan inisiatif kerajaan diperkukuh melalui koordinasi Ketua Setiausaha Negara dan semua Ketua Setiausaha kementerian.
Langkah itu bertujuan memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar, khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah. - DagangNews.com






