sarah16/11/2026 - 11:07 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - Harga minyak mentah Brent berisiko menjunam serendah AS$50 (RM202.50) setong pada suku keempat 2027 sekiranya negara pengeluar utama gagal mencapai kesepakatan untuk mengawal pengeluaran, ketika pasaran minyak dunia dijangka berdepan lebihan bekalan yang besar.
BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions berkata, harga Brent boleh berada antara AS$50 (RM202.50) hingga AS$60 (RM243) setong dalam senario paling pesimis apabila pengeluar utama lebih mengutamakan penguasaan pasaran berbanding usaha mempertahankan harga minyak.
Menurut firma penyelidikan itu, senario asasnya menjangkakan harga Brent berada pada purata AS$67 (RM271.35) setong menjelang suku keempat 2027, susut hampir 40% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala purata harga bagi keseluruhan 2027 diunjurkan sebanyak AS$81 (RM328.05) setong.
Lebihan bekalan minyak dijangka meningkat pada 2027
BMI berkata, pasaran minyak global dijangka beralih daripada keadaan bekalan terhad kepada lebihan bekalan mulai suku kedua 2027, susulan jangkaan penyelesaian konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang membolehkan pengeluaran dan eksport minyak dari Timur Tengah kembali pulih.
Firma itu mengunjurkan pengeluaran minyak di rantau Teluk Timur Tengah meningkat sebanyak 5.59 juta tong sehari pada 2027, manakala pengeluaran dari rantau lain bertambah 2.10 juta tong sehari, diterajui AS, sekali gus menyebabkan pertumbuhan bekalan mengatasi peningkatan permintaan global.
Walaupun harga minyak yang lebih rendah dijangka menyokong penggunaan bahan api dan aktiviti perindustrian, BMI berpandangan pertumbuhan permintaan masih tidak mencukupi untuk menyerap pertambahan bekalan, menyebabkan tekanan terhadap harga minyak semakin ketara pada separuh kedua 2027.
OPEC+ berdepan cabaran mempertahankan harga minyak
BMI berkata, usaha Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk menyokong harga minyak mungkin tidak mencukupi kerana hanya sebilangan kecil negara anggota mempunyai kemampuan atau kesediaan untuk mengurangkan pengeluaran secara besar-besaran.
Keadaan itu menjadi lebih rumit selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) meninggalkan OPEC+ pada Mei 2026, sekali gus memberi ruang kepada negara berkenaan menentukan strategi pengeluarannya sendiri, manakala Arab Saudi berkemungkinan sekali lagi menanggung sebahagian besar tanggungjawab mengurangkan bekalan.
Empat senario harga minyak pada 2027
Menurut BMI, terdapat empat kemungkinan perkembangan pasaran minyak pada 2027, dengan senario paling berkemungkinan ialah pengurangan pengeluaran OPEC+ yang tidak sekata, sekali gus meletakkan harga Brent antara AS$65 (RM263.25) hingga AS$70 (RM283.50) setong pada suku keempat tahun berkenaan.
Bagaimanapun, jika negara pengeluar utama memilih untuk meningkatkan pengeluaran bagi mempertahankan bahagian pasaran, harga Brent boleh merosot kepada AS$50 (RM202.50) hingga AS$60 (RM243) setong, manakala pengurangan pengeluaran yang berkesan dan mendapat sokongan meluas berpotensi mengekalkan harga antara AS$70 (RM283.50) hingga AS$75 (RM303.75) setong.- DagangNews.com





