Harga minyak mentah Brent dijangka antara AS$55–AS$60 setong pada 2026, menurut MBSB Research

LocalBusiness & Finance
12 Jan 2026 • 3:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga minyak mentah Brent dijangka antara AS$55–AS$60 setong pada 2026, menurut MBSB Research image is not available liza12/01/2026 - 15:49

KUALA LUMPUR 12 Jan — MBSB Investment Bank Bhd menjangkakan harga minyak mentah kekal rendah berikutan lebihan bekalan yang tinggi dan sentimen negatif yang sukar diserap sepenuhnya oleh permintaan.

 

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu mengunjurkan harga minyak mentah Brent berada antara AS$55 dan AS$60 setong pada 2026.

 

“Jika Amerika Syarikat (AS) berjaya memasarkan 50 juta tan minyak Venezuela dalam masa terdekat, langkah itu berpotensi memberi tekanan yang ketara ke atas harga minyak mentah, mendorong harga menjadi lebih rendah daripada unjuran.

 

“Bagaimanapun, unjuran tersebut kekal tidak berubah, kerana langkah itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk Venezuela meningkatkan kapasiti pengeluarannya daripada 0.8 juta tan sehari (mbpd) kepada 1.5 mbpd,” jelasnya.

 

Menurut bank pelaburan itu, bekalan minyak global dijangka meningkat antara 1.2 hingga 2.4 mbpd pada 2026, tidak termasuk kemungkinan impak daripada bekalan tambahan minyak Venezuela.

 

Keadaan itu didorong terutamanya oleh pengeluar bukan anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), seperti AS, Brazil, Kanada dan Guyana, yang dijangka menambah bekalan global dengan lebih 1.2 mbpd secara terkumpul, menurutnya.

 

Sementara itu, OPEC+ yang diterajui oleh Arab Saudi dan Rusia telah memutuskan untuk mengekalkan tahap pengeluaran pada suku pertama 2025 susulan krisis yang sedang berlaku di Venezuela dan ketegangan antara Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

 

“Kumpulan ini juga menegaskan komitmen yang dibuat pada November untuk menghentikan sementara peningkatan pengeluaran pada Januari, Februari dan Mac 2026 kerana faktor permintaan.

 

“Bagaimanapun, kemungkinan OPEC+ meningkatkan pengeluaran sehingga 1.2 mbpd pada 2026 untuk mengekalkan penguasaan pasaran tidak boleh diketepikan,” menurut MBSB Investment Bank.

 

Sebaliknya, bank pelaburan itu juga memaklumkan permintaan minyak global dijangka hanya meningkat sebanyak 0.7 mbpd tahun ini disebabkan ekonomi global yang lemah, terutamanya di negara pengguna utama seperti China dan India.

 

Di peringkat domestik, MBSB Investment Bank mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor ini berikutan unjuran harga minyak yang rendah pada 2026.

 

“Kami menjangkakan potensi kenaikan adalah terhad kerana unjuran lebihan minyak mentah yang dijangka menyebabkan harga dengan lebih rendah sekali gus menjejaskan operasi huluan dan hiliran,” katanya.

 

Bank pelaburan itu juga menjelaskan harga saham penggiat huluan juga susut ekoran ketidakstabilan dan perubahan struktur seperti peralihan kepada tenaga bersih, lebihan minyak mentah, serta isu Petronas-Petros. -- BERNAMA

Terkini standard