Strategi promosi, penambahan produk serta 100 kedai baharu dijangka pulihkan jualan Eco-Shop pada 4QFY26 – RHB Research

LocalBusiness & Finance
12 Jan 2026 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Strategi promosi, penambahan produk serta 100 kedai baharu dijangka pulihkan jualan Eco-Shop pada 4QFY26 – RHB Research image is not available liza12/01/2026 - 10:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Jan – Eco-Shop Marketing Bhd dijangka terus memulihkan prestasi jualan seiring dengan strategi pengembangan kedai yang agresif dan usaha menambah baik pengalaman pelanggan. 

 

Sehubungan itu, RHB Research menukar saranan saham Eco-Shop daripada Neutral kepada Beli dengan harga sasaran baharu RM1.81, memberikan potensi kenaikan 15.7 peratus berbanding harga pasaran semasa RM1.56.

 

Firma penyelidikan itu berkata peningkatan tersebut didorong oleh pemulihan SSSG (same-store sales growth) yang dijangka berlaku menjelang suku keempat tahun kewangan 2026, serta sentimen positif dalam sektor kedai menjual barangan harian dengan harga berpatutan di Malaysia. 

 

RHB Research berkata Eco-Shop dilihat mampu memanfaatkan trend pengguna menurunkan perbelanjaan tanpa menjejaskan jualan.

 

“Pada April 2025, Eco-Shop mengalami penurunan jualan di kedai sedia ada selepas menaikkan harga barangan ketika itu. Untuk mengatasi hal ini, syarikat melancarkan kempen promosi harga bagi produk makanan dan minuman antara Julai hingga Oktober 2025 untuk menarik kembali pengunjung ke kedai.

 

“Selain itu, usaha promosi produk yang konsisten dengan menambah 300 SKU baharu setiap bulan, membantu meningkatkan kepuasan pelanggan dan memberikan kelebihan berbanding pesaing.

 

“Pihak pengurusan yakin bahawa permintaan pengguna akan kembali normal memandangkan Eco-Shop menawarkan nilai untuk wang yang kompetitif,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Pengembangan kedai dijalankan secara strategik tanpa risiko pertindihan dengan 90 peratus kedai baharu dibuka lebih 15 kilometer daripada kedai sedia ada. Sasaran pembukaan kedai FY26 dinaikkan kepada 100 outlet daripada sasaran awal 70 outlet.

 

RHB Research menaikkan unjuran keuntungan FY27-28 sebanyak 3 hingga 5 peratus selepas menyesuaikan anggaran pembukaan kedai baharu. 

 

Ini turut menyumbang kepada peningkatan harga sasaran berdasarkan DCF kepada MYR1.81, bersamaan P/E FY27F 33 kali.

 

Keputusan suku kedua FY26 Eco-Shop dijangka diumumkan pada 26 Januari ini. 

 

RHB Research menjangkakan keuntungan teras 2QFY26 antara RM60 hingga RM65 juta, meningkat 9 hingga 18 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh pembukaan kedai baru dan peningkatan margin kasar.

 

image is not available

 

Walaupun tren negatif SSSG dijangka berterusan, ia dijangka menunjukkan penambahbaikan berbanding -12.7 peratus yang dicatatkan pada 1QFY26.

 

Eco-Shop juga telah menutup beberapa kedai Eco-Plus yang kurang prestasi untuk memberi fokus kepada format Eco-Shop.

 

Syarikat turut memperkenalkan kempen promosi baru “Beli 5 Percuma 1” pada Januari bagi produk terpilih untuk ahli sahaja.

 

Maklum balas awal daripada pelanggan dilaporkan positif, dengan impak margin lebih sederhana berbanding kempen “Sama Bantu” sebelum ini.

 

RHB Research berkata Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) masih melibatkan 160 outlet, dengan jualan hanya 1 hingga 2 peratus daripada jumlah keseluruhan. 

 

“Pihak pengurusan sedang membuat penyesuaian agar Eco-Shop lebih sesuai dengan program SARA.

 

“Pengukuhan ringgit Malaysia berpotensi meningkatkan margin kasar, kerana kira-kira 40 peratus pembelian syarikat adalah import, dan 97 peratus daripadanya dalam mata wang yuan China.

 

“Eco-Shop turut memperbaharui konsep reka bentuk kedai, dengan lapan outlet telah diubah suai dan 249 kedai dipasang pintu kaca bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah serta penjimatan tenaga,” katanya.

 

RHB menegaskan risiko utama terhadap saranan ini termasuk kelewatan besar dalam rancangan pengembangan, risiko reputasi dan jenama, serta kenaikan kos input yang ketara. 

 

Namun, dengan strategi pengembangan dan pemulihan SSSG, Eco-Shop dilihat sebagai pelaburan yang berpotensi memberikan pertumbuhan mampan. - DagangNews.com

Terkini standard